Strategi Pelaburan Baharu TH, Pengurusan Risiko Antara Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

KUALA LUMPUR, 5 Okt — Strategi kerajaan dalam mempelbagaikan portfolio pelaburan baharu dan memantapkan kerangka pengurusan risiko Tabung Haji (TH) antara yang bakal dibincangkan pada hari pertama Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Kelima Parlimen ke-15 hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan mengenai kelestarian dana TH itu diajukan oleh Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) kepada Perdana Menteri pada sesi Soal Jawab Lisan.

Beliau ingin tahu langkah kerajaan bagi menjamin kelestarian dana institusi berkenaan agar dapat terus membantu meningkatkan kemampuan rakyat menunaikan ibadah haji.

Selain itu, soalan berhubung keselamatan rakyat Malaysia di luar negara turut menjadi perhatian apabila Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) meminta Menteri Luar Negeri menyatakan langkah kerajaan memperketat sistem pendaftaran rakyat yang melancong atau berada di luar negara.

Ia bagi memastikan mereka dapat dikesan dan dibantu dengan segera sekiranya berlaku tragedi, bencana atau kecemasan, serta sama ada pendaftaran itu akan diwajibkan bagi destinasi berisiko tinggi.

Isu keselamatan makanan dan kebergantungan import turut diangkat oleh Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang bertanyakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai usaha mengurangkan import makanan melebihi RM90 bilion pada 2025, selain tindakan terhadap lambakan produk import luar.

Sementara itu, Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan status terkini pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971, termasuk tempoh pelaksanaan, mekanisme peralihan dan status penggubalan undang-undang baharu.

Selain itu, perkembangan terkini rundingan Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak berhubung pelaksanaan hak-hak negeri itu dan garis masa pelaksanaan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan kuasa kawal selia minyak dan gas turut akan ditanyakan Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) dalam sesi itu.

Turut tersenarai, soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) kepada Menteri Ekonomi berhubung tempoh pembentangan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan di Dewan Rakyat dan penetapan indikator khusus mengukur sumbangan Silver Economy kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) juga akan bertanyakan kepada Menteri Digital berhubung pendirian kerajaan terhadap saranan global memperlahankan pembangunan kecerdasan buatan (AI) serta cadangan penggubalan Akta AI Malaysia.

Turut dijadualkan dalam mesyuarat adalah pembentangan dua Rang Undang-Undang (RUU) bagi bacaan kali pertama, iaitu RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 oleh Menteri Belia dan Sukan serta RUU Makanan (Pindaan) 2026 oleh Menteri Kesihatan.

Mesyuarat juga akan diteruskan dengan penerangan bagi tiga Penyata Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), antaranya berkaitan Pengurusan Pelarian di Malaysia serta Pengurusan Perkhidmatan Bayaran Wang Jaminan Mahkamah melalui sistem e-Jamin.

Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis.