ohamadKUALA LUMPUR, 14 Jun — Malaysia dan Uzbekistan bersetuju untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor pertanian dan agromakanan merangkumi bidang akuakultur, teknologi pengairan mampan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D), menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Menurut kenyataan KPKM, komitmen berkenaan dicapai menerusi pertemuan dua hala antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dengan rakan sejawatnya dari Uzbekistan Ibrokhim Abdurakhmonov di Tashkent semalam bersempena dengan lawatan kerja ke negara itu atas jemputan kerajaan negara itu.
Kedua-dua menteri turut membincangkan mengenai keterjaminan makanan serta penggunaan teknologi pintar bagi meningkatkan produktiviti industri pertanian di kedua-dua buah negara.
“Hubungan perdagangan agromakanan antara kedua-dua negara mencecah RM338.48 juta bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, yang menyaksikan eksport utama Malaysia merangkumi kopi, koko, teh, rempah-ratus serta produk makanan diproses, manakala import pula melibatkan buah-buahan bernilai tinggi seperti anggur,” menurut kenyataan itu.
Dalam pertemuan itu, Mohamad menyatakan kesediaan Malaysia untuk berkongsi kepakaran dan amalan terbaik dalam bidang akuakultur, pengeluaran makanan laut serta sistem kawalan kualiti khususnya dalam industri udang.
Selain itu, Malaysia turut berkongsi pengalaman penggunaan teknologi biofloc yang berjaya meningkatkan produktiviti akuakultur di kawasan terhad dan berpotensi menyokong pembangunan industri perikanan negara Asia Tengah itu.
“Uzbekistan pula menyatakan minat untuk mendapatkan kepakaran, teknologi dan pelaburan dari Malaysia bagi memperkukuh sektor perikanan negara itu, meningkatkan bekalan makanan domestik serta menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan serantau,” menurut kenyataan itu.
Bagi memacu pembangunan pertanian masa hadapan, kedua-dua negara bersetuju menjadikan transformasi digital sebagai pemacu utama menerusi kerjasama dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pertanian digital dan pengurusan air secara mampan.
Dari segi penyelidikan, Mohamad menyambut baik perbincangan antara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Centre of Knowledge and Innovation in Agriculture (AKIS) Uzbekistan untuk memuktamadkan memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang R&D pertanian.
Bagi mengukuhkan hubungan ekonomi, kedua-dua pihak menggalakkan kerjasama perniagaan ke perniagaan (B2B) antara syarikat dan pemain industri pertanian Malaysia dan Uzbekistan selain hubungan kerajaan ke kerajaan (G2G) yang sedia terjalin.
Pada pertemuan itu, Mohamad turut menyampaikan jemputan rasmi kepada kerajaan Uzbekistan untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 yang dijadualkan pada 28 Ogos hingga 6 Sept 2026.
Beliau juga merasmikan pelancaran operasi Meraque Group di Uzbekistan dan dijadualkan menyertai Forum Pelaburan Antarabangsa Tashkent (TIIF) 2026 yang akan dirasmikan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev pada 17 Jun ini.

















Tinggalkan Balasan