Sarkas Nasional Laos Kekal Bertahan Harungi Sejarah Turun Naik

PHNOM PENH, 4 Julai — Di celah pergunungan yang menghijau dan di tebing Sungai Mekong yang tenang terletak satu daripada khazanah budaya Laos yang kurang diketahui umum — tradisi sarkas yang terus bertahan meskipun mengharungi revolusi, peperangan dan pelbagai kesusahan selama beberapa dekad.

Ketika Sarkas Nasional Laos menyambut ulang tahun ke-60 penubuhannya bulan lalu, ia terus menjadi lambang kecemerlangan seni serta duta senyap warisan budaya negara itu.

Sarkas Laos mempunyai sejarah yang penuh turun naik dan berakar daripada sejarah revolusi negara itu. Menurut Vientiane Times, ia ditubuhkan ketika Perang Indochina pada 1960-an bagi membangkitkan semangat serta menghiburkan anggota tentera dan orang ramai.

Selepas mengharungi peperangan, pergolakan politik, kesukaran ekonomi dan bencana alam, Sarkas Nasional Laos terus memelihara serta memperkenalkan warisan budaya negara yang kaya kepada penonton di dalam dan luar negara.

“Sepanjang enam dekad lalu, Sarkas Nasional Laos telah berperanan sebagai duta budaya yang penting,” kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Legend Travel Group yang berpangkalan di Hanoi, Tony Bui kepada Bernama.

“Tidak seperti sarkas Barat yang secara tradisinya lebih menumpukan kepada haiwan eksotik atau persembahan berskala besar, sarkas Laos menggabungkan cerita rakyat, muzik tradisional, pakaian etnik dan kehidupan harian masyarakat luar bandar ke dalam pertunjukan akrobatik serta penceritaannya.”

Sempena ulang tahun itu, Vientiane Times menyifatkan Sarkas Nasional Laos, yang bermula di gua-gua Viengxay di timur laut Laos, tempat kumpulan revolusi itu berpangkalan, sebagai simbol kebanggaan negara.

Negara Asia Tenggara yang mempunyai kira-kira tujuh juta penduduk itu telah mengharungi peperangan yang dahsyat serta bencana alam yang memusnahkan, daripada taufan hingga banjir.

Ekonominya yang sebahagian besarnya bergantung pada sektor pelancongan, eksport elektrik dan hasil pertanian, masih diklasifikasikan sebagai Negara Kurang Maju, walaupun ia merancang untuk keluar daripada kategori berkenaan menjelang akhir 2026.

Selama beberapa dekad, generasi demi generasi penghibur kembara berbakat, daripada ahli akrobat dan penjugel sehinggalah kepada penghibur udara serta badut, telah menghiburkan masyarakat di bandar dan kampung.

“Ia telah membawa kegembiraan dan inspirasi kepada ramai orang serta menjadi sebahagian penting daripada identiti budaya negara kami.

“Di tengah-tengah kancah peperangan, para artis kami menggunakan bakat mereka sebagai senjata yang ampuh untuk menyuntik semangat dan patriotisme, sekali gus membawa harapan serta kekuatan kepada anggota tentera dan rakyat dalam perjuangan membebaskan negara,” kata Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Laos Suanesavanh Vignaket pada majlis sambutan ulang tahun itu, menurut akhbar berkenaan.

Sepanjang sejarah Laos yang bergolak, Sarkas Nasional Laos terus bertahan meskipun seni sarkas tradisional mengalami kemerosotan di kebanyakan negara di dunia.

“Di Asia Tenggara, para penghibur sering menganggap seni mereka bukan sekadar pekerjaan, sebaliknya warisan hidup yang menjadi tanggungjawab mereka untuk dipelihara. Ketika peperangan atau kesukaran ekonomi yang teruk, sarkas berfungsi sebagai wadah penting untuk memberi kelegaan emosi serta menjadi sumber semangat kepada masyarakat setempat.

“Para artis ini didorong oleh kesedaran bahawa persembahan mereka membawa kegembiraan, harapan dan semangat kebersamaan ketika rakyat amat memerlukannya,” kata Bui.

Bagaimanapun, seni tradisional ini dikhuatiri akan lenyap dan meninggalkan kekosongan budaya yang sukar diganti di negara seperti Laos, Kemboja, Myanmar dan Vietnam, yang sejak sekian lama menjadikan seni persembahan tradisional sebagai wadah penting untuk penceritaan serta pemeliharaan warisan budaya.