KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Malaysia perlu terus bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat (AS) dan China di samping mengamalkan dasar berkecuali secara aktif di tengah-tengah persaingan antara dua kuasa besar itu, kata Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.
Pengerusi Eksekutifnya Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah berkata kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam landskap perdagangan dan pelaburan Malaysia yang terjalin erat dalam sistem ekonomi negara.
“Ia bukan soal sama ada kita boleh; kita mesti bekerjasama rapat dengan kedua-duanya,” katanya dalam wawancara bersama Bernama World di luar persidangan dasar awam utama ISIS Malaysia, PRAXIS 2026, di sini pada Selasa.
Wawancara bertajuk “Malaysia’s Reform Agenda: Delivering Growth and Confidence” itu disiarkan di Bernama World, program hal ehwal semasa antarabangsa agensi berita nasional itu yang menampilkan wawancara dan perbincangan mengenai isu global, pada Rabu.
Mohd Faiz berkata pendekatan dasar luar Malaysia sepatutnya digambarkan sebagai berkecuali secara aktif dan bukannya keneutralan, kerana negara kekal terlibat secara aktif dalam hal ehwal geopolitik dan geoekonomi.
“Kita tidak mahu menggunakan perkataan neutral; kita mahu menggunakan perkataan berkecuali secara aktif. Neutral seolah-olah membayangkan keadaan statik, tidak melakukan apa-apa, tidak terlibat.
Kita sangat terlibat dari segi geoekonomi dan geopolitik,” katanya.
Mengenai penglibatan Malaysia dengan BRICS, Mohd Faiz berkata kumpulan itu lebih rapat dikaitkan dengan Selatan Global dan kadangkala dilihat sebagai anti-Barat, satu ciri yang disifatkannya sebagai “salah”.
Beliau berkata Malaysia mempunyai hubungan kebudayaan, rakyat dengan rakyat, politik dan ekonomi yang terjalin sekian lama dengan China, manakala AS kekal penting dari segi pelaburan langsung asing yang berkualiti, terutamanya di tengah-tengah transformasi teknologi.
Mohd Faiz berkata Malaysia juga boleh bertindak sebagai jambatan antara kuasa besar dan Selatan Global menerusi dasar luar yang terbuka, sekali gus membolehkan negara mengambil pendirian berprinsip sambil terus berhubung dengan pelbagai rakan.
BRICS ialah satu kumpulan ekonomi pesat membangun dan negara membangun yang bertujuan meningkatkan kerjasama dalam hal ehwal politik, ekonomi dan kewangan dalam kalangan anggotanya.
Beliau memetik pendirian Malaysia mengenai Palestin dan Gaza dengan menyatakan bahawa Kuala Lumpur telah secara lantang mengkritik pelbagai negara termasuk AS, namun pada masa sama mengekalkan hubungan diplomatik dan ekonomi yang kukuh dengan mereka.
Mohd Faiz berkata ini mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa pertengahan yang sangat bergantung pada perdagangan dan hubungan luar.
“Kita berurusan dengan semua pihak secara saksama menggunakan standard asas yang kita ada: perdagangan bebas berasaskan peraturan, perkongsian saksama berasaskan peraturan dari segi saling menghormati, soal kebolehkendalian, soal saling bergantung,” katanya.
Sementara itu, pengerusi eksekutif berkenaan turut menunjuk kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 dan penglibatan ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China sebagai contoh negara membawakan bersama pelbagai rantau dan ekonomi.
“Ideanya adalah untuk menunjukkan bagaimana Malaysia mampu mempromosikan rasa dinamisme itu, memanfaatkan semua kekuatan serantau daripada pelbagai entiti dan ekonomi,” katanya.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata Malaysia tidak sepatutnya sekadar mengikut perkembangan di arena antarabangsa, tetapi juga perlu memetakan hala tuju dalam isu termasuk perubahan iklim, kelestarian dan keterangkuman, di samping memainkan peranan yang kukuh dan progresif dalam ASEAN.
Beliau berkata penglibatan ekonomi antarabangsa Malaysia akhirnya perlu diterjemahkan kepada faedah nyata untuk ekonomi domestik dan rakyat.
Sejak 2011, PRAXIS telah menghimpunkan pembuat dasar, sektor swasta, masyarakat sivil dan ahli akademik untuk membincangkan topik yang berkepentingan nasional.













Tinggalkan Balasan