Xi Arah Perkukuh Usaha Tangani Bencana Alam

Presiden China, Xi Jinping mahu semua pihak memperhebat usaha menyelamat dan bantuan bencana susulan hujan lebat dan cuaca berangin yang melanda beberapa wilayah di negara ini.

Baru-baru ini, hujan lebat berterusan melanda wilayah Guangxi, Hubei dan Gansu hingga menyebabkan berlakunya kejadian empangan pecah, tanah runtuh dan beberapa bencana lain sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa serta kerugian harta benda yang besar.

Justeru Xi mengarahkan pihak-pihak berkuasa berkaitan supaya menggerakkan sepenuhnya operasi mencari dan menyelamat, rawatan kepada mangsa yang cedera serta penempatan sementara penduduk yang terjejas, dengan matlamat mengurangkan jumlah korban dan mencegah berlakunya bencana susulan.

Xi berkata situasi banjir ketika ini masih serius dan kompleks.

Beliau mahu semua pihak berkaitan di pelbagai tempat melaksanakan langkah-langkah yang ditetapkan dan bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja pencegahan dan bantuan dengan ketat.

Ia termasuklah menjalankan pemeriksaan risiko di kawasan sungai dan tasik, empangan yang rosak dan tidak selamat serta kawasan yang mudah berdepan bencana geologi.

Xi juga mahu semua pihak meningkatkan pemantauan amaran awal dan persediaan bantuan kecemasan dan melaksanakan semua kerja pencegahan dan bantuan bencana demi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda rakyat terjamin.