BANDUNG, 10 Julai — Selangor menyasarkan kerja pecah tanah bagi cadangan terminal pelabuhan ketiga di Pulau Carey dapat dimulakan seawal September ini, tertakluk kepada kelulusan lesen pelabuhan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT), ketika kerajaan negeri sedang memuktamadkan pemilihan bakal pengendali terminal berkenaan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata dengan sebahagian besar urusan pengambilan dan pembangunan tanah telah diselesaikan, kelulusan lesen pelabuhan kini menjadi prasyarat terakhir sebelum pembinaan dapat dimulakan.
“Saya percaya semua perancangan dapat dimuktamadkan menjelang September. Ketika ini, kami sedang menunggu lesen daripada kementerian.
“Apabila lesen itu dikeluarkan, kami boleh memulakan projek serta-merta. Saya juga percaya semua urusan berkaitan tanah bagi pembangunan pelabuhan ini telah diselesaikan,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran SIBS@ASEAN di Bandung, Indonesia
Di Malaysia, lesen pelabuhan merupakan kebenaran untuk menjalankan aktiviti maritim, perkapalan dan komersial dalam kawasan pelabuhan yang dikawal selia oleh pihak berkuasa berkanun seperti Lembaga Pelabuhan Klang.
Mengulas mengenai pemilihan pengendali terminal, Amirudin berkata pengumuman hanya akan dibuat selepas semua proses, termasuk kelulusan lesen pelabuhan, dimuktamadkan.
Beliau berkata beberapa pihak telah menyatakan minat untuk mengendalikan terminal berkenaan sejak dua tahun lepas, termasuk MMC Corporation Bhd (MMC Corp).
MMC Port Holdings Sdn Bhd, cabang operasi pelabuhan milik MMC Corp, memiliki Northport (Malaysia) Bhd selain mengendalikan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Port dan Tanjung Bruas Port.
Mengenai peranan kerajaan negeri, Amirudin berkata Selangor akan menyelaras pembangunan projek dan aspek kawal selia, manakala sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri akan memegang kepentingan ekuiti dalam operasi terminal berkenaan bagi mewakili negeri.
Beliau berkata penyertaan ekuiti itu penting bagi membolehkan Selangor menikmati aliran pendapatan yang mampan daripada operasi pelabuhan, di samping hasil kutipan cukai.
“Anak syarikat milik kerajaan negeri akan mewakili Selangor dengan memegang kepentingan dalam operasi terminal ini, sekali gus memastikan negeri memperoleh pendapatan berterusan bukan sahaja menerusi cukai, malah keuntungan operasi,” katanya.
Amirudin berkata pelabuhan itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk beroperasi sepenuhnya.
Pembangunan Pulau Carey dijangka melengkapi projek peluasan Westports Fasa 2 dalam usaha memperkukuh kedudukan Pelabuhan Klang sebagai hab maritim utama serantau.
Pelabuhan Klang kini mempunyai kapasiti pengendalian tahunan kira-kira 15.1 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), yang diunjurkan meningkat kepada antara 28 juta hingga 29 juta TEU selepas siapnya Westports Fasa 2.
Sebagai perbandingan, Tuas Megaport di Singapura direka untuk mengendalikan sehingga 65 juta TEU setahun apabila siap sepenuhnya, sekali gus mencerminkan sengitnya persaingan pelabuhan di rantau ini serta keperluan Malaysia terus memperkukuh daya saing Pelabuhan Klang.
Dalam perkembangan lain, ketika menyampaikan ucaptama pada pelancaran SIBS@ASEAN, Amirudin menyeru negeri-negeri pesisir Selat Melaka memperkukuh kerjasama dalam mempertahankan kedaulatan laluan perairan strategik itu.
“Selat Melaka adalah milik kita. Kita tidak boleh membenarkan mana-mana pihak mengambil alih atau menentukan apa sahaja yang berkaitan dengannya. Pada akhirnya, ia milik kita semua dan ditadbir oleh kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata kira-kira 20 peratus bekalan tenaga dunia melalui Selat Hormuz, manakala hampir 30 peratus melalui Selat Melaka, sekali gus menjadikan kestabilan dan keselamatan laluan perairan itu amat penting kepada perdagangan global.
“Keamanan di Selat Melaka perlu terus dipelihara,” katanya.

















Tinggalkan Balasan