LONDON, 10 Julai — Andy Burnham memperoleh 322 pencalonan daripada Ahli Parlimen (AP) Parti Buruh pada Khamis, hari pertama pemilihan kepimpinan parti itu, sekali gus meletakkannya di landasan untuk menjadi pemimpin baharu Parti Buruh, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jumlah pencalonan itu hanya kurang satu daripada ambang yang akan menyebabkan tiada calon lain berpeluang memperoleh 81 pencalonan AP yang diperlukan untuk mara ke peringkat seterusnya pemilihan berkenaan.
Setakat ini, tiada AP Parti Buruh lain yang menerima pencalonan.
Menerusi hantaran di platform media sosial X selepas pencalonan ditutup bagi hari pertama, bekas Datuk Bandar Greater Manchester itu berkata beliau amat berterima kasih kepada 322 Ahli Parlimen Parti Buruh yang telah memberikan kepercayaan dan mencalonkannya sebagai Pemimpin Parti Buruh.
“Sokongan mereka datang daripada seluruh Parti Buruh Parlimen (PLP) dan mencerminkan keyakinan bersama bahawa Britain memerlukan pendekatan baharu dalam politik.
“Itulah perubahan yang saya tawarkan: mengembalikan kuasa dari Westminster kepada rakyat, membentuk semula ekonomi demi kepentingan rakyat biasa dan memastikan pertumbuhan yang memberi manfaat kepada setiap komuniti,” katanya.
Burnham berkata beliau mahu memperkasakan Ahli Parlimen supaya dapat membawa pengalaman dan suara rakyat di kawasan masing-masing ke teras pentadbiran kerajaan, di samping memanfaatkan sepenuhnya kekuatan gerakan Parti Buruh yang merangkumi pelbagai tradisi dan pegangan demi mencapai matlamat bersama.
Pencalonan akan ditutup pada Rabu minggu depan. Kemudian, Burnham perlu memperoleh sokongan daripada tiga badan gabungan Parti Buruh, termasuk sekurang-kurangnya dua kesatuan sekerja bagi melayakkannya ke peringkat seterusnya.
Sekiranya syarat itu dipenuhi, satu persidangan khas akan diadakan pada 17 Julai bagi mengesahkan secara rasmi beliau sebagai pemimpin baharu Parti Buruh.













Tinggalkan Balasan