Malaysia, Thailand Perkukuh Kerjasama Menjelang Ulang Tahun Ke-70 Hubungan Diplomatik

PUTRAJAYA, 9 Julai — Malaysia dan Thailand mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam pembangunan dan kesalinghubungan kawasan sempadan termasuk projek pengangkutan, logistik dan infrastruktur bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan berkenaan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul ke Malaysia, kedua-dua pihak juga menantikan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Thailand-Malaysia ke-16 bagi Kerjasama Dua Hala dan Mesyuarat Menteri mengenai Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan ke-7 yang akan dianjurkan oleh Thailand.

Kedua-dua negara juga bersetuju untuk mengadakan Rundingan Tahunan ke-8 antara kedua-dua Perdana Menteri di Thailand tahun hadapan pada tarikh yang dipersetujui bersama sempena memperingati Ulang Tahun ke-70 Hubungan Diplomatik antara Malaysia dan Thailand.

“Kedua-dua pihak mengiktiraf potensi ekonomi yang besar di Wilayah Sempadan Selatan Thailand dan negeri-negeri utara Malaysia, serta bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam semua bidang bagi menggalakkan pembangunan dan menambah baik taraf hidup di kawasan sempadan,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pihak turut mengulangi komitmen bersama untuk menggalakkan kesalinghubungan pelbagai mod yang menghubungkan kedua-dua negara bagi memudahkan perdagangan rentas sempadan serta pergerakan rakyat dan barangan.

Pada masa sama, kedua-dua pihak mengalu-alukan perdagangan dua hala dan pelaburan yang semakin meningkat serta berikrar untuk memperkukuh kerjasama bagi mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak USD30 bilion menjelang 2027.

Kenyataan itu memaklumkan kedua-dua pihak mengalu-alukan penyiapan jajaran jalan yang menghubungkan CIQ Sadao yang baharu dan ICQS Bukit Kayu Hitam, dengan kedua-dua Perdana Menteri dijadual menyempurnakan majlis perasmiannya pada 10 Julai.

Malaysia dan Thailand turut mengalu-alukan kerjasama berterusan untuk menghubungkan landasan kereta api berkembar di sepanjang koridor Ipoh-Padang Besar-Hat Yai bagi meningkatkan kesalinghubungan rel rentas sempadan.

Kedua-dua pihak mengalu-alukan pengoperasian penuh Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP) dan bersetuju untuk terus menyelaras perkara berkaitan operasi, termasuk memudah cara pergerakan pengangkutan barangan rentas sempadan, prosedur kastam dan kuarantin serta langkah pemudahan sempadan lain bagi meningkatkan kecekapan logistik di kawasan sempadan.

Kedua-dua pihak turut menyambut baik kemajuan projek Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang serta usaha berterusan untuk menghidupkan semula perkhidmatan kereta api Rantau Panjang-Sungai Golok, selain bersetuju meneruskan perbincangan ke arah pelaksanaannya.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua negara turut mengalu-alukan rancangan untuk menghidupkan semula perkhidmatan feri rentas sempadan antara Wilayah Satun dan Kuala Perlis, Perlis.

Kedua-dua pihak juga menyambut baik rancangan untuk mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri mengenai Kerjasama Dua Hala dalam Bidang Pengangkutan yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada 2026, bagi memastikan penyelarasan yang lebih rapi terhadap projek kesalinghubungan antara kedua-dua negara.

Mengenai kerjasama sosiobudaya, Malaysia dan Thailand bersetuju untuk meningkatkan kerjasama bagi mempromosikan pelancongan dua hala melalui hubungan pengangkutan yang lebih baik melalui jalan raya, kereta api, udara dan laut.

Kedua-dua pihak turut mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain bidang kepentingan lain yang dipersetujui bersama bagi menggalakkan pembangunan modal insan yang mampan di kedua-dua negara.

Kenyataan itu memaklumkan kedua-dua pihak juga berharap dapat memuktamadkan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Pengangkutan Barang dan Penumpang Rentas Sempadan, Kerjasama Buruh, Kerjasama Pertahanan, Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Sungai Golok serta Kerjasama dalam Bidang Pendidikan.