PRN Johor: PN Tewas Di Kesemua 33 Kerusi Ditandingi, Gagal Pertahan Tiga DUN

erikatan JOHOR BAHRU, 11 Julai — Perikatan Nasional (PN) kecundang dalam gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 apabila gagal memenangi sebarang kerusi di kesemua 33 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Pada PRN kali ini, PN mempertaruhkan 33 calon melibatkan 16 daripada Bersatu, 11 PAS, lima Parti Kemajuan India Malaysia (MIPP) dan seorang daripada Pejuang.

Berdasarkan paparan keputusan rasmi di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam ini, PN bukan sahaja gagal melebarkan penguasaan, malah terpaksa melepaskan tiga kerusi DUN yang dimenangi mereka pada PRN Johor 2022, iaitu di Bukit Kepong, Maharani dan Endau.

Di DUN Bukit Kepong, bekas Menteri Besar Datuk Dr Sahruddin Jamal gagal mempertahankan mandat selepas tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Ahmad Syar’e Yusof dalam pertembungan tiga penjuru yang turut melibatkan wakil Pakatan Harapan (PH) C. Subramani.

Situasi sama berlaku di DUN Maharani apabila wakil gabungan itu, Mohamad Anuar Hayan gagal mengekalkan penguasaan di kerusi yang sebelum ini dimenangi oleh Abdul Aziz Talib pada pilihan raya negeri lepas.

Di DUN Endau, calon PN Hasnul Hakimi Hussein gagal merampas kerusi itu daripada Alwiyah Talib yang mewakili BN pada pilihan raya kali ini.

Alwiyah menang DUN Endau pada PRN 2022 ketika bertanding mewakili PN. 

Selepas tamat penjumlahan, BN berjaya membentuk semula kerajaan negeri setelah memperoleh 48 kerusi DUN, manakala PH (lapan). 

Parti Bersama Malaysia (Bersama), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Orang Asli Malaysia, Parti Sosialis Malaysia serta calon Bebas pula gagal memenangi sebarang kerusi setakat pengumuman itu dibuat.