Melaka Kutip RM59.6 Juta Caj Warisan Sejak 2012

MELAKA, 13 Julai — Kerajaan Negeri Melaka mengutip RM59.6 juta bagi Caj Warisan yang dikenakan kepada pelancong luar yang menginap di hotel-hotel berdaftar di negeri itu sejak 2012.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menjadi penyumbang terbesar, iaitu RM50.9 juta, diikuti Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (RM6.6 juta), Majlis Perbandaran Alor Gajah (RM1.8 juta) dan Majlis Perbandaran Jasin (RM209,000).

Beliau berkata 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan, iaitu RM35.75 juta adalah bahagian kerajaan negeri manakala baki 40 peratus atau RM23.85 juta adalah hasil pihak berkuasa tempatan.

“Berdasarkan pembahagian 60 peratus bahagian kerajaan negeri, sebanyak RM34,668,367.90 kutipan disalurkan kepada kerajaan melalui Akaun Amanah Caj Warisan Negeri Melaka.

“Daripada jumlah itu, RM28.35 juta dimanfaatkan bagi pelbagai tujuan pembangunan industri pelancongan negeri ini, selaras dengan terma dan syarat yang ditetapkan di dalam Arahan Akaun Amanah Caj Warisan Negeri Melaka,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) yang mahu tahu mengenai kutipan dan pengurusan Caj Warisan.

Abdul Razak berkata Caj Warisan dikenakan sebanyak RM2 pada 2012 dan diberikan kadar baharu antara RM3 hingga RM5 bermula 2025 berdasarkan pengelasan premis pelancongan selaras dengan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau berkata peningkatan jumlah kemasukan pelancong yang berterusan, terutamanya melalui inisiatif seperti Tahun Melawat Melaka dan Zon Bebas Kenderaan di Banda Hilir telah membawa kepada peningkatan permintaan terhadap kemudahan penginapan yang secara langsung menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil Caj Warisan.

“Berdasarkan statistik jumlah kutipan Caj Warisan pada 2025, kadar baharu caj berkenaan membawa kepada lonjakan kutipan sebanyak RM7,601,179 berbanding 2024 (RM4,781,244).

“Jumlah ini menunjukkan kenaikan hasil sebanyak RM2,819,935 atau 58.98 peratus pada 2025 berbanding 2024. Peningkatan ini adalah impak positif dalam memperkukuh hasil negeri bagi menyokong usaha pemuliharaan dan pemeliharaan warisan serta pembangunan sektor pelancongan Melaka,” katanya.