KUALA LUMPUR, 13 Julai — Anak syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas), PETRONAS LNG Ltd (PLL), memeterai perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) baharu selama tujuh tahun dengan Shizuoka Gas Co Ltd bagi membekalkan kira-kira 0.84 juta tan LNG bermula 2032.
Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata perjanjian itu menawarkan bekalan yang lebih fleksibel dan terjamin bagi memenuhi keperluan tenaga Shizuoka Gas yang terus berkembang seiring perubahan landskap pasaran.
Majlis menandatangani perjanjian itu disempurnakan oleh Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas Datuk Adif Zulkifli bersama Pengarah Perwakilan merangkap Presiden Shizuoka Gas Yoshitake Matsumoto.
Adif berkata perjanjian itu bukan sekadar pencapaian komersial, malah mencerminkan hubungan yang terjalin berasaskan kepercayaan, pertumbuhan bersama dan kerjasama yang terus berkembang sepanjang 30 tahun seiring perubahan landskap tenaga.
“Seiring keperluan pelanggan yang semakin dinamik, Petronas kekal komited menyediakan penyelesaian LNG yang fleksibel dan boleh dipercayai menerusi portfolio globalnya bagi menyokong jaminan keselamatan tenaga jangka panjang, di samping memacu peralihan tenaga yang pragmatik dan bertanggungjawab,” katanya.
Majlis itu turut menandakan ulang tahun ke-30 penghantaran kargo LNG pertama Petronas kepada Shizuoka Gas.
Shizuoka Gas dan Petronas turut berhasrat memperkukuh kerjasama melangkaui hubungan tradisional antara penjual dan pembeli LNG dengan meneroka peluang kerjasama dalam usaha penyahkarbonan merentas rantaian nilai LNG, kata kenyataan itu.
Ditubuhkan pada 1910 dan beribu pejabat di Shizuoka, Jepun, Shizuoka Gas merupakan antara syarikat utiliti utama negara itu yang terlibat dalam pengeluaran, pembekalan dan penjualan gas bandar.
















Tinggalkan Balasan