GEORGE TOWN, 14 Julai — Pulau Pinang telah mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi penggambaran antarabangsa menerusi filem Hollywood terbaharu Netflix The Big Fix yang dibintangi Mark Wahlberg, yang kini sedang menjalani penggambaran di beberapa lokasi ikonik di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata produksi selama dua minggu itu akan memberikan pendedahan global yang bernilai kepada Pulau Pinang menerusi satu daripada platform penstriman terbesar dunia, di samping menjana limpahan ekonomi kepada perniagaan tempatan dan industri kreatif.
“Keputusan sebuah produksi utama Netflix yang dibintangi Wahlberg untuk menjalani penggambaran di Pulau Pinang menandakan satu lagi pencapaian penting bagi sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negeri ini, selain membawa pendedahan antarabangsa yang amat bernilai kepada Pulau Pinang.
“Produksi antarabangsa bukan sahaja mewujudkan peluang ekonomi kepada perniagaan tempatan, hotel, penyedia perkhidmatan pengangkutan dan industri kreatif, malah turut mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan filem dengan memberi inspirasi kepada penonton di seluruh dunia untuk mengunjungi lokasi yang mereka lihat di layar perak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata penggambaran yang bermula sejak tiga hari lepas telah dijalankan di beberapa lokasi warisan dan mercu tanda di Pulau Pinang, termasuk Jawi Peranakan Mansion, Cheong Fatt Tze – The Blue Mansion, Lorong Ikan di George Town dan Stadium Bandaraya Pulau Pinang.
Wong ketika mengulas mengenai filem The Big Fix, yang berkisar tentang dunia bola sepak berkata apabila produksi itu diteruskan, beberapa babak tambahan juga akan menjalani penggambaran di beberapa stadium bola sepak di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur serta lokasi lain di seluruh negeri itu sepanjang minggu hadapan.
Menurut Wong, penggambaran The Big Fix disokong menerusi program Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIMI) dan mendapat pengesahan daripada Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang (PETACE) serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Beliau berkata PETACE telah bekerjasama rapat dengan Penang Global Tourism, MBPP, pasukan produksi dan agensi kerajaan berkaitan bagi memudah cara urusan penggambaran sepanjang jadual produksi berkenaan.
Wong berkata projek terbaharu itu meneruskan kejayaan Pulau Pinang dalam menarik produksi antarabangsa, susulan penggambaran filem Sandiwara pada awal tahun ini yang dibintangi pelakon kelahiran Malaysia dan pemenang Anugerah Akademi Tan Sri Michelle Yeoh.
“Kerajaan Negeri Pulau Pinang, menerusi PETACE dan dengan kerjasama Penang Global Tourism serta rakan industri kami akan terus menarik lebih banyak produksi antarabangsa yang mewujudkan nilai ekonomi, membangunkan bakat kreatif tempatan dan mempromosikan Pulau Pinang kepada dunia,” katanya.
















Tinggalkan Balasan