Kerjasama Glyken-Ortho Group Pertingkat Penjagaan Kesihatan Melalui Teknologi Sarang Burung

KUALA LUMPUR, 14 Julai — Glyken Bio Products Sdn Bhd (Glyken) dan Ortho Group, Jepun memeterai kerjasama penyelidikan bernilai lebih RM4 juta untuk meneroka penggunaan ekstrak sarang burung milik Glyken dalam pembangunan perubatan terapeutik dan penjagaan kesihatan.

Bioeconomy Corporation Malaysia dalam kenyataan memaklumkan, bagi memudah cara kerjasama itu, inisiatif berkenaan berpotensi menjana nilai komersial sehingga RM40 juta.

“Kerjasama itu bertujuan mewujudkan platform bagi penyelidikan bersama, kajian klinikal dan inovasi penjagaan kesihatan dengan memanfaatkan kepakaran kedua-dua pihak untuk membangunkan penyelesaian terapeutik dan kesejahteraan bagi menyokong jangka hayat yang panjang.

“Dengan pengiktirafan yang semakin tinggi terhadap nanopeptida Glyken sebagai ramuan kesejahteraan premium dalam industri kesihatan dan kecantikan Jepun, kerjasama itu akan menggabungkan keupayaan penyelidikan Glyken dengan kepakaran Ortho Group dalam aplikasi kesejahteraan dan klinikal bagi meneroka penyelesaian terapeutik baharu,” menurut kenyataan itu.

Cadangan kerjasama berkenaan dimeterai menerusi majlis pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengasas Glyken, Eric Shak, dengan Pengasas dan Pengerusi Ortho Group Dr Hiroyasu Tomo di pejabat Bioeconomy Corporation.

Sementara itu, CEO Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata kerjasama itu mengukuhkan lagi kehadiran Glyken di pasaran Jepun susulan perjanjian pengedaran komersial yang dimeterai dengan Japan Bansho Co Ltd, dengan sokongan Bioeconomy Corporation semasa Ekspo 2025 Osaka pada Mei 2025.

Beliau berkata pencapaian itu membuka laluan kepada pengembangan pasaran Glyken dan mengukuhkan kedudukannya dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan di Jepun.

“Dengan menggabungkan teknologi nanopeptida milik Glyken dan kepakaran Ortho Group dalam perubatan integratif serta pembangunan penjagaan kesihatan, kerjasama itu mewujudkan peluang untuk menangani keperluan penjagaan kesihatan yang semakin berkembang terutama berkaitan populasi yang semakin menua iaitu cabaran yang dihadapi Malaysia dan Jepun,” katanya.

Shak pula berkata kerjasama berkenaan merupakan pencapaian penting bagi industri bioteknologi Malaysia terutama dalam inovasi berasaskan sarang burung.

“Kerjasama dengan kumpulan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan terkemuka di Jepun ini membuka peluang untuk membawa teknologi Glyken ke pasaran yang lebih luas.

“Selain itu, ia turut menawarkan penyelesaian yang dapat memenuhi keperluan kesihatan masyarakat di Malaysia dan Jepun, khususnya dalam berdepan peningkatan populasi warga emas,” katanya.

Menurut Tomo, beliau mendapat ilham daripada potensi bioteknologi sarang burung selepas melawat kemudahan Glyken dan mendapat pemahaman yang lebih jelas mengenai visi Shak.

“Kami berkongsi aspirasi yang sama untuk meningkatkan jangka hayat kesihatan. Kami berharap kerjasama berkenaan akan menjadi pemangkin untuk memanjangkan jangka hayat yang sihat, bukan sahaja di Jepun dan Malaysia, malah di seluruh dunia,” katanya.

Glyken ialah syarikat berstatus BioNexus berpangkalan di Johor dan menjalankan aktiviti bioteknologi merangkumi penyelidikan, pembangunan, pengesahan serta pembuatan ekstrak sarang burung yang diformulasikan kepada produk kesihatan dan kesejahteraan berasaskan nanopeptida milik syarikat itu sendiri.