Belanjawan 2027: MATTA Mohon Pelaburan Pelancongan, Insentif Cukai Yang Lebih Baik

KUALA LUMPUR, 26 Ogos —  Insentif cukai yang lebih mesra kepada pengusaha, tambahan pelaburan dalam infrastruktur dan peruntukan promosi yang lebih tinggi untuk pelancongan adalah antara item yang disenaraikan sebagai hasrat utama Belanjawan 2027 daripada Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).

Presiden MATTA Nigel Wong berkata potongan cukai yang lebih baik untuk pengusaha pelancongan amat penting bagi menggalakkan mereka meningkatkan usaha promosi di luar negara dan menarik lebih ramai pelawat antarabangsa ke Malaysia untuk menyokong inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.

“Secara umumnya, apa yang kita cari dalam belanjawan ialah insentif yang lebih mesra kepada pengusaha pelancongan dalam bentuk potongan cukai, agar selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.

“Ini akan mendorong pengusaha pelancongan melonjakkan usaha promosi mereka di luar negara,” katanya selepas sidang media MATTA Fair bersama rakan bank rasminya di sini hari ini.

Wong turut menekankan keperluan untuk pelaburan kerajaan yang lebih besar dalam perniagaan pelancongan, khususnya bagi menaik taraf infrastruktur dan memperbaharui tarikan pelancongan sedia ada.

“Saya rasa antara perkara yang amat baik, yang telah dilaksanakan kerajaan ialah, sebagai contoh, penambahbaikan Bangunan Sultan Abdul Samad, sehingga ia menjadi ikon di Kuala Lumpur.

“Kita mempunyai banyak bangunan warisan, bangunan bersejarah, dan ini juga perlu diberi pembaharuan atau naik taraf,” katanya.

Wong juga menggesa pendekatan keseluruhan pelancongan, dengan majlis perbandaran memainkan peranan yang lebih besar dalam memastikan bandar dan kawasan bandar selamat dan boleh dilalui oleh pejalan kaki.

“Ini juga akan membantu imej negara secara menyeluruh,” katanya sambil menambah bahawa MATTA turut sedang mencari peningkatan dalam belanjawan promosi untuk menyokong inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 dengan lebih baik.

Berdasarkan laman web Parlimen, Rang Undang-undang (Belanjawan) Perbekalan 2027 dijadualkan dibentangkan oleh Menteri Kewangan menjelang 9 Okt.