KUALA LUMPUR, 26 Ogos — PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan aliran trafik mencecah 2.2 juta kenderaan di lebuh raya kendaliannya pada hari-hari puncak sepanjang 28 hingga 31 Ogos serta 4 hingga 7 Sept sempena sambutan Hari Kebangsaan dan cuti persekolahan.
Sehubungan itu, PLUS menasihatkan pengguna merancang perjalanan lebih awal dengan merujuk jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA menerusi Aplikasi PLUS bagi membantu mengagihkan aliran trafik dan mengurangkan tumpuan kenderaan pada waktu puncak.
“Aplikasi PLUS juga boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat trafik secara masa nyata, bantuan kecemasan (SOS), maklumat insiden, anggaran kadar tol, lokasi kawasan rehat dan rawat (R&R), stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) serta maklumat perkhidmatan lebuh raya lain bagi memudahkan perancangan sebelum dan sepanjang perjalanan,” menurut PLUS dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, PLUS berkata pihaknya meningkatkan persediaan dengan menambah petugas di plaza tol dan kawasan R&R, mempertingkat rondaan PLUSRonda serta memantau keadaan trafik secara berterusan menerusi Pusat Pemantauan Trafik.
PLUS juga akan mengaktifkan Smart Lane di 33 lokasi terpilih bagi membantu melancarkan trafik di kawasan yang dikenal pasti berpotensi mengalami kesesakan.
Pengguna dinasihatkan supaya peka terhadap papan tanda Smart Lane dan mengurangkan kelajuan ketika menggunakan laluan itu, selain tidak menggunakan laluan kecemasan di luar lokasi pengaktifan Smart Lane bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
PLUS turut akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan agensi berkaitan bagi memastikan sebarang insiden di lebuh raya dapat ditangani dengan segera.
Bagi menghadapi peningkatan jumlah pengguna, kerja penyelenggaraan kemudahan awam di kawasan R&R dan hentian turut dipertingkat dengan memberi keutamaan kepada aspek kebersihan dan keselesaan, termasuk surau dan tandas.
PLUS turut menasihatkan pengguna memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, selain memastikan baki kad Touch ‘n Go atau e-dompet mencukupi dan pautan kad pembayaran pada aplikasi JustGO kekal aktif.
Pengguna lebuh raya yang memerlukan bantuan boleh menghubungi PLUSLine di 180088-0000, manakala maklumat trafik terkini boleh diakses melalui Aplikasi PLUS dan platform media sosial rasmi PLUS dari semasa ke semasa.
















Tinggalkan Balasan