PUTRAJAYA, 26 Ogos — Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi akan mengambil tindakan segera untuk melaksanakan proses kawal selia termasuk pendaftaran platform e-dagang bagi memastikan kepentingan dan keselamatan pengguna terus dilindungi.
Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu diputuskan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, susulan aduan diterima Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada orang awam, termasuk pengusaha platform e-dagang dan peniaga kedai fizikal.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata aduan itu, antara lain membabitkan platform e-dagang yang didakwa tidak dikawal selia dengan baik, termasuk penjualan produk elektrik dan elektronik yang mungkin tidak memenuhi piawaian serta berhubung status halal sesetengah produk.
“Hasrat kerajaan adalah untuk pastikan para pengguna sentiasa dilindungi. Jadi, apa-apa tindakan diambil yang kita utamakan yang paling utama adalah dalam kalangan pengguna dan pembeli daripada platform-platform e-dagang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Fahmi berkata kerajaan tidak berhasrat menutup mahupun menyekat mana-mana platform e-dagang, sebaliknya mahu memastikan produk yang ditawarkan mematuhi piawaian serta peraturan ditetapkan.
“Kita mahu contohnya bagi produk-produk elektrik dan elektronik, ia harus menepati piawaian SIRIM (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia).
“Bagi produk-produk yang dijual sekiranya ada status halal pula, maka ia mesti mematuhi piawaian halal yang kita guna pakai dalam negara,” katanya.
Mengulas kerangka penguatkuasaan, Fahmi berkata MOF dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sudah mempunyai proses pendaftaran masing-masing, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga mempunyai mekanisme berkaitan.
Beliau berkata kementerian akan mengadakan sesi libat urus dan perbincangan dengan pengendali platform e-dagang berkenaan.
“Bagi pihak MCMC sebelum ini kerangka pelesenan yang telah diguna pakai terhadap platform media sosial itu telah memberikan pengalaman tentang apa yang perlu dilakukan dalam perbincangan dengan platform.
“Jadi mungkin perbincangan yang hampir serupa boleh diadakan dengan pihak platform e-dagang,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata MCMC menerima 1,964 aduan berkaitan jualan produk dalam platform e-dagang atau perkara berkaitan platform itu, termasuk penipuan, dari 1 Jan 2025 hingga semalam.
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,147 aduan diterima sepanjang 2025, manakala 817 lagi diterima dari 1 Jan hingga 25 Ogos tahun ini dengan 118 aduan masih dalam tindakan MCMC.
“Sebanyak 191 aduan telah diterima berkenaan dengan produk yang bersifat elektrik atau elektronik dan empat aduan telah diterima mengenai kesahihan status halal produk yang dijual,” katanya.
















Tinggalkan Balasan