MATRADE Sasar Memudah Cara Lebih 120 Sesi Padanan Perniagaan Di Pavilion WiEX@MIHAS 2026

KUALA LUMPUR, 14 Julai — Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan untuk memudah cara lebih 120 sesi pemadanan perniagaan bagi syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dalam Pavilion Women in Export (WiEX) di WiEX@MIHAS.

Ia merupakan satu inisiatif khas di bawah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang ke-22 pada tahun ini.

MATRADE dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan ia akan membawa masuk 300 pembeli dari pelbagai negara menerusi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) bagi memudah cara sesi pemadanan perniagaan dengan syarikat Malaysia, sekali gus memberi mereka akses langsung kepada pembuat keputusan antarabangsa dan rakan perniagaan yang berpotensi.

Kenyataan itu menyatakan platform WiEX yang akan dilancarkan semasa MIHAS 2026 bakal menghimpunkan usahawan wanita dari Malaysia dan seluruh dunia, selain menampilkan produk dan perkhidmatan halal yang inovatif, amalan perniagaan mampan, serta penyelesaian sedia eksport.

“Sebanyak 80 ruang pameran telah diperuntukkan di bawah Pavilion WiEX, meliputi 60 ruang untuk syarikat Malaysia manakala selebihnya untuk pempamer antarabangsa.

“Syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dalam Pavilion WiEX akan berpeluang menyertai sesi pemadanan perniagaan yang telah diatur terlebih dahulu dengan pembeli antarabangsa yang dikendalikan oleh MATRADE,” menurut kenyataan itu.

Bakal berlangsung dari 23 hingga 26 September 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, platform itu mencerminkan komitmen MATRADE untuk memajukan penyertaan wanita dalam perdagangan antarabangsa.

Selain itu, ia bertujuan memperkasakan perniagaan milik dan diterajui oleh wanita untuk berkembang melangkaui pasaran domestik serta merebut peluang eksport global dalam ekonomi halal yang kini sedang berkembang pesat.

Sementara itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata WiEX @MIHAS meletakkan usahawan wanita di barisan hadapan dalam memacu inovasi, kualiti dan keupayaan menyesuaikan diri dengan pasaran ekonomi halal.

“Setiap perniagaan wanita yang berkembang menerusi inisiatif ini akan membawa kita lebih dekat kepada sasaran eksport halal sebanyak RM80 bilion menjelang 2030, ia bukan sekadar dasar yang baik, malah ia adalah langkah ekonomi yang bijak,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Abu Bakar Yusof, inisiatif itu direka untuk melengkapkan perniagaan yang diterajui oleh wanita dengan rangkaian, pengetahuan dan akses pasaran yang diperlukan bagi memperkukuh keupayaan eksport mereka serta bersaing secara global dalam pasaran halal.

Tarikan utama platform berkenaan ialah Forum WiEX @MIHAS, yang bertemakan ‘Thriving Through Uncertainty: How Women Exporters Can Adapt, Compete and Grow’.

Forum itu akan menampilkan pemimpin industri, penggubal dasar dan pengeksport berjaya yang akan berkongsi pandangan tentang cara mengemudi dinamika perdagangan global yang berkembang, memanfaatkan pendigitalan dan kecerdasan buatan, mempelbagaikan pasaran baharu serta membina perniagaan yang berdaya tahan dan mampan.

Melengkapkan inisiatif ini ialah Anugerah Wira Ekonomi Wanita, yang mengiktiraf pencapaian cemerlang pengeksport wanita merangkumi tiga kategori iaitu; Kecemerlangan Produk, Kecemerlangan Perkhidmatan, serta Kecemerlangan Inovasi dan Kemampanan.