Xi Tekankan Penaiktarafan Perbandaran Ketika Tinjau di Shanghai

Presiden China, Xi Jinping menekankan peri pentingnya untuk menaiktaraf fasiliti perbandaran yang usang ketika memangkin agenda pemodenan bandar, mengamalkan sepenuhnya konsep pembangunan bandar yang berpaksikan rakyat, memperincikan pelaksanaan pelbagai projek penaiktarafan yang berkaitan dengan rintihan rakyat, dan meningkatkan kerelevanan rakyat dalam pembangunan bandar yang selamat dan mengujakan.

Demikian ditegaskan oleh Presiden Xi semasa membuat tinjauan di Shanghai pada Rabu.

Xi terlebih dahulu memilih turun padang ke satu taman perumahan yang disebut Shimin Xincun di Jalan Bansongyuan Daerah Huangpu untuk tinjauan dan kunjungan kerja pada sebelah petang Rabu.

Terdapat empat buah bangunan pangsapuri di Shimin Xincun yang asalnya dibina pada tahun 1950-an telah diubah suai dengan langkah penaiktarafan termasuk menambah dapur dan bilik air yang berasingan serta lif untuk kegunaan awam. Seluruh taman perumahan itu kelihatan lebih berdaya huni berbanding masa sebelum dipulihara.

Ketika mengunjungi beberapa gerai yang menjual buah-buahan dan sayur-sayuran, Xi menekankan kepentingan untuk memperbaiki tadbir urus di peringkat akar umbi yang boleh memanfaatkan pelbagai sumber, perkhidmatan dan pengalaman pengurusan di bandar raya, dan memperhalusi pelaksanaan skim pembangunan komuniti serta blok mesra rakyat.

Dalam tempoh tinjauan itu, Xi turut menunjukkan bahawa masa sekarang ini merupakan saat kritikal untuk mencegah dan mengawal banjir di China. 

“Pelbagai pihak terbabit diseru bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku bencana buruk dan situasi melampau, berhemah ketika memantau hujan, keadaan banjir dan perkembangan taufan, menjalankan pemeriksaan menyeluruh dan teliti bagi mengenal pasti risiko berpotensi, serta berusaha dengan gigih menjalankan segala kerja berkaitan mitigasi bencana, operasi kecemasan, bantuan bencana dan usaha menyelamat untuk meningkatkan keberkesanan dalam melindungi keselamatan nyawa dan harta benda rakyat,” kata Xi.