KUALA LUMPUR, 16 Julai — Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan supaya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan semakan semula terhadap keseluruhan rantaian bekalan minyak masak dan mengurangkan kuota 60,000 metrik tan sebulan.
Timbalan Pengerusi PAC Teresa Kok berkata ia antara lapan syor yang dikemukakan berdasarkan hasil siasatan sepanjang prosiding pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak agar selari dengan keperluan domestik sebenar, sekali gus mengelakkan ketirisan dan pembaziran dana awam.
“KPDN hendaklah menyemak semula kadar subsidi RM600 per tan metrik kepada syarikat pembungkus agar lebih munasabah dan kompetitif selaras dengan kos operasi semasa bagi menjimatkan dana awam,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata sebanyak 10 prosiding diadakan pada 5 Ogos hingga 15 Okt tahun lepas dengan memanggil saksi termasuk daripada KPDN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memberi keterangan susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 yang mendapati pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak adalah kurang memuaskan.
Kok berkata hasil siasatan itu, PAC merumuskan penetapan kuota Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) adalah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan manakala keperluan domestik sebenar rakyat Malaysia dianggarkan sekitar 19,000 ke 30,000 tan metrik sebulan.
“Ketiadaan mekanisme pengagihan bersasar menyebabkan dana subsidi kerajaan iaitu RM10.879 bilion bagi tempoh 2019 sehingga Februari 2025 tidak sampai sepenuhnya kepada golongan sasar, dengan minyak masak peket satu kilogram sering disalahgunakan oleh pihak yang tidak layak, termasuk warga asing dan pengusaha sektor komersial,” katanya.
Beliau berkata terdapat dua syarikat pembungkus yang masih tidak memiliki sijil halal daripada keseluruhan sembilan syarikat pembungkus yang dibangkitkan oleh pihak Audit, yang seharusnya tidak berlaku kerana JAKIM telah menambah baik proses pensijilan halal.
Selain itu, prosiding mendapati terdapat kelemahan serius dalam pengurusan stok minyak masak rosak kerana tiada prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk menguruskan minyak masak rosak di peringkat syarikat pembungkus yang menyebabkan kerajaan masih menanggung subsidi ke atas stok rosak yang tidak akan sampai kepada pengguna.
“Pemantauan yang kurang berkesan di peringkat peruncit telah mengakibatkan berlakunya amalan jualan bersyarat, penyorokan stok, dan jualan melebihi harga kawalan RM2.50 semakin berleluasa di pasaran,” katanya.
Kok berkata penguasaan pasaran minyak masak bersubsidi di peringkat penapisan didapati tidak seimbang dengan 67 peratus kuota dikuasai oleh syarikat asing manakala penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tempatan seperti FGV dan SD Guthrie hanya 10.6 peratus, manakala selebihnya oleh syarikat tempatan.
“Margin keuntungan bagi pembungkus yang menerima subsidi RM600 per tan metrik dilihat terlalu tinggi berbanding kos pemprosesan sebenar yang jauh lebih rendah, sekali gus meningkatkan beban subsidi kerajaan tanpa justifikasi kos operasi yang munasabah,” katanya.
Kok berkata PAC turut mencadangkan KPDN membuat penetapan bahawa pembayaran subsidi kepada syarikat pembungkus hanya dibuat ke atas stok minyak masak yang tidak rosak bagi mengurangkan pembayaran subsidi berlebihan yang tidak perlu.
Selain itu, beliau berkata kerajaan perlu mempercepat peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar secara digital sepenuhnya melalui sistem Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) bagi memastikan bantuan hanya dinikmati oleh warganegara yang layak dan mengelakkan manipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
“Kerajaan perlu mengkaji kemungkinan agihan semula kuota penapisan minyak masak dengan memberikan keutamaan kepada syarikat tempatan yang berdaya saing bagi mengurangkan dominasi syarikat asing,” katanya.
Terdahulu, PAC membentangkan Penyata PAC berhubung Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak di bawah KPDN yang antaranya menggariskan syor untuk diambil tindakan segera oleh kerajaan.

















Tinggalkan Balasan