SIBU, 16 Julai — Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, agensi pembangunan dan komuniti bagi membangunkan ekonomi luar bandar berasaskan inovasi, teknologi serta penghasilan produk bernilai tinggi.
Menteri Kerja Raya merangkap Pengerusi URDA Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pembangunan ekonomi luar bandar tidak lagi boleh bergantung kepada hasil mentah semata-mata, sebaliknya perlu membina rantaian nilai yang membolehkan komuniti menguasai teknologi dan menembusi pasaran lebih luas.
Beliau berkata kejayaan pendekatan projek komuniti berimpak tinggi (HICP) yang meningkatkan purata pendapatan peserta melebihi 25 peratus membuktikan pelaburan dalam penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu mampu membawa perubahan nyata kepada kehidupan rakyat.
“Universiti bukan sekadar pusat penyelidikan, malah rakan strategik dalam membina ekonomi komuniti. Apabila penyelidikan dipadankan dengan keperluan rakyat serta disokong kerajaan dan agensi pelaksana, hasilnya bukan sahaja inovasi di makmal, malah peluang ekonomi yang mampu mengubah kehidupan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan selepas mengetuai delegasi URDA dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) dalam lawatan ke Advance National Honey Landmark (AnNaHL) Translational Centre, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kelantan hari ini.
Nanta, yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata pembangunan luar bandar perlu memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti masyarakat melalui ilmu, kemahiran, teknologi dan akses pasaran bagi membolehkan komuniti menjana pendapatan secara mampan.
Beliau berkata beberapa kawasan di Parlimen Kapit telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan projek berimpak tinggi termasuk projek madu kelulut di Melatai Selirik dan Kampung Tatai Mas Raweng, projek integrasi penternakan di Nanga Yong serta pembinaan Upper Rajang Honey Processing & Marketing Centre di Song.
Beliau berkata pusat berkenaan akan menjadi hab pemprosesan, pemasaran, latihan dan pembangunan industri madu kelulut di Kapit.
















Tinggalkan Balasan