KUALA LUMPUR, 16 Julai — Kempen pertama ‘MASB Belanja & Menang’ berjaya mencatatkan hampir 1.9 juta transaksi di 14 lapangan terbang domestik sepanjang tempoh penganjuran pada 1 Ogos hingga 31 Disember 2025, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Dalam satu kenyataan hari ini, pengendali lapangan terbang itu memaklumkan kempen berkenaan melibatkan lapangan terbang di bawah kendaliannya iaitu Alor Setar, Bintulu, Kota Bharu, Labuan, Miri, Sandakan, Kuala Terengganu, Tawau, Ipoh, Kuantan, Lahad Datu, Limbang, Mukah dan Sibu.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen Malaysia Airports untuk memperkukuh peranan lapangan terbang domestik sebagai pemangkin aktiviti ekonomi setempat, di samping meningkatkan pengalaman pengunjung di seluruh negara.
“Usaha ini perkenalkan bagi menggalakkan aktiviti beli-belah dan menjamu selera di lapangan terbang di samping memberi ganjaran kepada pengunjung yang berbelanja di mana-mana premis perniagaan di lapangan terbang yang mengambil bahagian,” menurutnya.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial Malaysia Airports Hani Ezra Hussin berkata kempen ‘MASB Belanja & Menang’ itu turut membuktikan lapangan terbang domestik bukan sekadar hab perhubungan, malah berperanan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi setempat menerusi aktiviti komersial.
Pencapaian itu juga, katanya, mencerminkan potensi besar rangkaian lapangan terbang domestik dalam merancakkan perniagaan, mewujudkan peluang kepada pengusaha tempatan serta memperkaya pengalaman pengunjung.
Selain itu, pada satu majlis berasingan, Malaysia Airports mengumumkan pemenang utama kempen ‘MASB Belanja & Menang’ yang dipilih daripada hampir 9,700 penyertaan yang diterima sepanjang tempoh kempen.
Susulan sambutan menggalakkan itu, Malaysia Airports berhasrat untuk meneruskan kempen berkenaan pada tahun ini dengan tawaran hadiah serta ganjaran lebih menarik.

















Tinggalkan Balasan