SEREMBAN, 17 Julai — Sebanyak 464 borang pencalonan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan terjual setakat ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau berkata bagaimanapun hanya 70 bakal calon telah mengesahkan penyertaan dengan menjelaskan bayaran deposit.
“Tarikh tutup proses bayaran deposit sehingga proses penamaan bermula esok. Jadi kita harap semua (calon yang bertanding) kalau boleh datang buat pembayaran awal supaya esok kita tak terkejar-kejar masa dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan proses penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan di Pusat Penamaan Calon (PPC) bagi DUN Lenggeng, Nilai, Lobak, Temiang, Sikamat dan Ampangan di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS), pagi ini.
Ramlan berkata persiapan proses penamaan calon PRN melibatkan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang diadakan di lapan PPC di negeri ini berjalan lancar dan telah siap sepenuhnya bagi menghadapi hari penamaan calon esok.
“Persiapan bagi proses penamaan calon berjalan lancar dan telah siap sepenuhnya. Pagi ini kami juga telah mengadakan raptai penuh di semua pusat penamaan calon di seluruh negeri bagi memastikan kelancaran urusan esok,” katanya.
Mengulas mengenai logistik, Ramlan berkata sebanyak 761 pegawai SPR ditugaskan esok bagi mengendalikan proses penamaan calon di lapan PPC di lapan Parlimen.
Beliau berkata berbeza dengan kaedah yang digunakan semasa PRN Johor sebelum ini yang menggunakan pusat penamaan berasaskan DUN, PRN Negeri Sembilan menggunakan pendekatan berpusat mengikut lapan Parlimen berdasarkan keperluan dan kesesuaian lokaliti setempat bagi memudahkan penyelarasan.
Berhubung aspek keselamatan, beliau turut mengingatkan semua parti politik yang bertanding termasuk penyokong agar mengelakkan sebarang perbuatan provokasi bagi kelancaran proses berkenaan.
“Saya memohon kepada semua bakal calon supaya datang awal esok bagi mengelakkan sebarang kesesakan.
“Kepada para penyokong pula, cuba elakkan sebarang bentuk provokasi demi memastikan keharmonian. Pihak parti politik juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan mengelakkan kesalahan pilihan raya yang biasa berlaku sepanjang tempoh kempen nanti,” katanya.
Berdasarkan daftar pemilih SPR yang dikemas kini hingga 4 Jun 2026, Negeri Sembilan merekodkan sebanyak 889,490 pengundi berdaftar yang layak memilih pada PRN kali ini merangkumi 867,151 pengundi biasa manakala 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis sebagai pengundi awal.
Proses penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan akan bermula 9 pagi esok dan ditutup sejam kemudian diikuti pengumuman rasmi calon-calon yang layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini, manakala pengundian awal pada 28 Julai.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan secara rasmi pada 5 Jun lepas selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 14 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.
















Tinggalkan Balasan