JIM Tahan Majikan Pemastautin Tetap Disyaki Bekal Pekerja Asing Tanpa Kebenaran

KUALA LUMPUR, 17 Julai — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan tujuh individu termasuk seorang majikan berstatus pemastautin tetap (MyPR) dalam Op Khas pada Rabu lepas kerana disyaki terbabit kegiatan mengurus dan membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran.

Ketua Pengarahnya Datuk Zakaria Shaaban berkata kesemua mereka ditahan dalam Op Khas yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di dua lokasi di sekitar Semenyih, dekat sini, bermula 12.30 tengah hari.

Beliau berkata Op Khas di sebuah premis perniagaan dan premis makanan yang dijalankan hasil risikan selama sebulan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai pemilik syarikat dan majikan, empat lagi lelaki warga Bangladesh, seorang wanita warga Bangladesh serta seorang wanita warga Thailand berusia antara 27 hingga 57 tahun.

“Semakan awal mendapati majikan warga Bangladesh itu memiliki MyPR, manakala seorang lelaki Bangladesh memiliki Pas Pelajar dan seorang wanita Thailand memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara sebagai pekerja restoran.

“Baki warga asing yang ditahan didapati tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata pihaknya turut menyita 31 pasport Bangladesh, satu pasport Thailand, salinan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta wang tunai berjumlah RM48,524.

“Modus operandi suspek adalah menguruskan dan membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran dan kelulusan yang sah. Suspek juga menyasarkan majikan warga tempatan khususnya di Lembah Klang yang memerlukan tenaga kerja warga asing.

“Kegiatan ini berselindung di sebalik premis perniagaan dan premis makanan bagi mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa. Bayaran yang dikenakan untuk menguruskan dan memperbaharui pas adalah sebanyak RM4,000 bagi setiap seorang,” katanya.

Beliau berkata majikan berkenaan disiasat mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

“Seorang lelaki Bangladesh dan seorang wanita Thailand pula disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, manakala warga asing lain disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua mereka telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala seorang lelaki dan tiga wanita warga tempatan serta seorang lelaki warga Bangladesh diberikan notis hadir bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata JIM akan terus mempergiat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.