NILAI, 17 Julai — Cabaran terbesar melaksanakan reformasi negara bukan berpunca daripada kekurangan teknologi atau kepakaran, sebaliknya disebabkan keengganan segelintir pihak menerima perubahan termasuk dalam kalangan golongan elit yang masih mempertahankan budaya rasuah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengalaman mentadbir kerajaan selama lebih tiga tahun membuktikan usaha memperbetulkan sistem dan membanteras rasuah sering berdepan tentangan daripada pihak yang sudah selesa dengan amalan lama.
Anwar berkata langkah kerajaan memperkukuh tatakelola dan membanteras rasuah mungkin tidak popular, namun ia perlu diteruskan bagi memastikan sistem pentadbiran negara menjadi lebih telus, berintegriti dan berkesan.
“Ramai yang tidak senang apabila kita hendak membetulkan sistem. Namun, sistem tidak pernah sempurna dan mesti sentiasa diperbaiki. Itulah tuntutan agama, budaya serta tamadun.
“Apabila kita berusaha membetulkan sistem dan menghapuskan budaya rasuah yang dianggap biasa, di situlah muncul penentangan terhadap perubahan. Mereka mungkin moden dari segi pakaian dan gaya hidup, tetapi keengganan untuk berubah tetap wujud kerana perubahan akan mencabar kedudukan serta kebiasaan mereka,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar dan Warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Teknik (KPT) di Bandar Enstek, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Pengarah IPGKPT Dr Kartini Abdul Mutalib.
Anwar berkata, berdasarkan teori perubahan, masyarakat lazimnya terbahagi kepada dua kelompok, iaitu mereka yang mempunyai kecenderungan untuk melakukan pembaharuan dan mereka yang menolak perubahan.
Beliau berkata tanggapan bahawa hanya masyarakat luar bandar atau golongan kurang berpendidikan sukar menerima perubahan tidak semestinya tepat kerana individu berpendidikan tinggi, golongan intelektual dan pemegang kuasa juga boleh menunjukkan sikap yang sama.
“Kumpulan pertama sentiasa mahu memperbaiki diri. Kalau sudah baik, dia mahu menjadi lebih baik. Namun, ada satu lagi kelompok yang enggan berubah, kolot, jumud dan melihat setiap perubahan sebagai ancaman,” kata beliau.
Anwar turut memberi contoh amalan penyelewengan dalam pemberian kontrak apabila sesuatu projek yang sepatutnya bernilai RM400 juta meningkat kepada RM500 juta akibat unsur komisen, sambil menegaskan perkara itu bukan dakwaan semata-mata tetapi telah didedahkan menerusi pelbagai laporan.
Sehubungan itu, beliau menggesa warga pendidik dan pelajar supaya menjadi golongan yang bersedia menerima perubahan serta memainkan peranan dalam membina masa depan negara.
Sementara itu, ketika menjawab soalan seorang pelajar mengenai cadangan pemberian bantuan bagi mengurangkan kos tiket penerbangan untuk pelajar Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuaan Labuan, Anwar memberi jaminan isu berkenaan akan diteliti dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Sekarang ini kita (masih) berunding juga, sebab kita nak tahu sebab apa kos penerbangan terlalu tinggi, betul kos minyak, tetapi kalau kita gunakan umpamanya beberapa skim, skim khas siswa atau booking (tempah) awal, boleh bantu harga (tiket) lebih murah.
“Kalau saya nak janji yang lebih daripada itu, sekarang kita dah sukar (hadapi kekangan)…tapi saya akan bawa hal ni untuk kita bincang dalam mesyuarat (Jemaah Menteri),” kata Perdana Menteri.
















Tinggalkan Balasan