KUALA LUMPUR, 17 Julai — Inflasi Malaysia meningkat pada kadar lebih perlahan kepada 1.9 peratus pada Jun 2026 berbanding dua peratus pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Perkembangan itu didorong terutamanya oleh kumpulan pengangkutan yang mencatatkan kenaikan 2.8 peratus berbanding 3.8 peratus pada Mei 2026.
DOSM memaklumkan kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan, selain kumpulan pendidikan, turut merekodkan pertumbuhan yang lebih sederhana, masing-masing sebanyak 3.4 peratus (Mei 2026: 4.8 peratus) dan 2.1 peratus (Mei 2026: 2.2 peratus).
“Kumpulan insurans dan perkhidmatan kewangan pula mencatatkan peningkatan kepada 5.7 peratus pada Jun 2026 berbanding 4.9 peratus pada bulan sebelumnya.
“Ini diikuti kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan yang turut merekodkan peningkatan kepada 2.6 peratus pada Jun 2026 berbanding 2.5 peratus pada Mei 2026,” menurut DOSM.
DOSM memaklumkan kumpulan maklumat dan komunikasi mencatatkan kenaikan kepada 2.4 peratus pada Jun 2026 berbanding 2.1 peratus pada Mei 2026, manakala kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain meningkat kepada 1.4 peratus daripada 1.2 peratus.
“Lima kumpulan mengekalkan kadar inflasi yang sama seperti pada Mei 2026, iaitu minuman alkohol dan tembakau (2.8 peratus), makanan dan minuman (1.4 peratus), kesihatan (1.2 peratus), rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.1 peratus), serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah rutin (0.4 peratus).
“Sementara itu, kumpulan pakaian dan kasut tidak merekodkan sebarang peningkatan pada Jun 2026 berbanding penurunan 0.1 peratus pada Mei 2026,” menurut jabatan itu.
Sebanyak 65.1 peratus atau 373 daripada 573 item mencatatkan kenaikan harga pada Jun 2026.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 365 item atau 97.9 peratus merekodkan kenaikan harga kurang daripada atau sehingga 10 peratus, manakala hanya lapan item mencatatkan kenaikan melebihi 10 peratus.
“Baki 155 item atau 27.1 peratus menunjukkan penurunan harga, manakala 45 item lagi kekal tidak berubah,” jelas DOSM.
DOSM memaklumkan tujuh negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi paras inflasi nasional 1.9 peratus, iaitu Pahang (2.6 peratus), Johor (2.5 peratus), Negeri Sembilan (2.5 peratus), Wilayah Persekutuan Labuan (2.3 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.2 peratus), Kedah (2.0 peratus) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.0 peratus).
“Semua negeri merekodkan peningkatan inflasi bagi kumpulan makanan dan minuman kecuali Kelantan yang mencatatkan penurunan 0.7 peratus,” menurut DOSM.
Menurut DOSM, inflasi Malaysia bagi suku kedua 2026 meningkat 1.9 peratus berbanding 1.6 peratus pada suku pertama tahun ini.
“Antara kumpulan yang mencatatkan peningkatan berbanding suku sebelumnya ialah insurans dan perkhidmatan kewangan (5.2 peratus), pengangkutan (3.6 peratus), minuman alkohol dan tembakau (2.8 peratus), maklumat dan komunikasi (2.1 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.2 peratus), rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.0 peratus), serta hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah rutin (0.4 peratus).
“Bagaimanapun, peningkatan yang lebih perlahan dalam kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan (4.3 peratus), restoran dan perkhidmatan penginapan (2.6 peratus), pendidikan (2.2 peratus) serta kesihatan (1.3 peratus) sedikit sebanyak membantu meredakan tekanan inflasi pada suku kedua 2026,” menurut DOSM.

















Tinggalkan Balasan