PUTRAJAYA, 17 Julai — Kerajaan tidak campur tangan dalam pelantikan pengurusan syarikat yang mengendalikan pelabuhan termasuk yang membabitkan warga asing selagi pegangan saham majoriti syarikat terlibat kekal dimiliki rakyat Malaysia.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata dasar kerajaan menetapkan syarikat yang memegang konsesi atau aset strategik seperti pelabuhan perlu dimiliki majoriti rakyat Malaysia dengan pegangan saham sekurang-kurangnya 51 peratus.
“Setakat yang melibatkan kerajaan, kita hanya kawal selia dari segi pegangan saham. Pegangan saham itu mesti bagi syarikat yang mengendalikan konsesi dan aset strategik negara termasuk pelabuhan.
“Majoritinya dimiliki rakyat Malaysia iaitu 51 peratus. Ini dasar kita,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Loke berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media antarabangsa mengenai pelantikan bekas Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DP World Sultan Ahmed Sulayem sebagai Pengerusi Eksekutif MMC Ports Holdings Bhd sekali gus mengambil alih tanggungjawab kepimpinan syarikat pengendali pelabuhan itu.
Laporan itu menyatakan Sultan Ahmed mengambil alih kepimpinan MMC Port Holdings Bhd apabila Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Azman Shah Mohd Yusof meletakkan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta.
Sementara itu, Loke berkata pelantikan pengurusan syarikat ialah keputusan dalaman syarikat dan tidak memerlukan kelulusan kerajaan.
“Malah terdapat pelabuhan di negara ini yang diterajui ketua pegawai eksekutif warga asing seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Dari segi pengurusan, kerajaan tidak mencampuri urusan itu,” katanya.
Bagaimanapun, Loke berkata sebarang perubahan pegangan saham syarikat perlu dimaklumkan kepada kerajaan termasuk melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
Berhubung dakwaan berlaku perubahan pemilikan saham kumpulan pengendali pelabuhan terbesar di Malaysia itu, Loke berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang notifikasi daripada syarikat atau pemegang konsesi.
















Tinggalkan Balasan