SEREMBAN, 18 Julai — Bank Rakyat menyediakan pembiayaan berjumlah RM1.42 juta kepada Limbcraft Innovation Sdn Bhd bagi membangunkan sebuah pusat ortopedik mampu milik di sini yang dijangka menawarkan kos rawatan dan pembedahan hingga 50 peratus lebih rendah, bergantung kepada jenis prosedur.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata pembiayaan itu disalurkan bagi kerja pengubahsuaian premis serta pembelian mesin dan peralatan untuk Axis Orthopaedic Specialist Centre & Ambulatory Care Centre yang dijangka dilancarkan tahun ini.
Beliau berkata pusat berkenaan bakal dilengkapi bilik pembedahan, wad rawatan harian serta kemudahan rehabilitasi robotik, manakala pembiayaan itu diberikan pada kadar keuntungan rendah sebanyak empat peratus setahun.
“Manfaat pembiayaan tidak seharusnya terhenti pada pertumbuhan sesebuah perusahaan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang lebih luas kepada rakyat.
“Dalam kes ini ia membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan rawatan ortopedik berkualiti pada kos lebih mampu milik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Sim menyerahkan replika cek pembiayaan kepada Pengasas Limbcraft Innovation yang juga pakar bedah ortopedik Dr Eswaran Nadarajan.

















Tinggalkan Balasan