Melaka Raih Empat Pengiktirafan MBOR Sektor Pelancongan Dalam Tempoh Tiga Tahun

MELAKA, 19 Julai — Melaka meraih empat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi sektor pelancongan dalam tempoh tiga tahun sejak 2023, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan sektor pelancongan negeri terus bergerak dengan idea yang kreatif, berani dan berimpak tinggi.

“Saya tidak mahu kejayaan ini berakhir sekadar sijil digantung di dinding. Sebaliknya, pengiktirafan perlu menjadi pencetus kepada lebih banyak idea, produk dan program baharu yang boleh menarik pelancong, memanjangkan tempoh mereka berada di Melaka dan memberikan limpahan ekonomi kepada rakyat,” katanya. 

Ab Rauf berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil MBOR dan Hadiah Pemenang sempena Festival Sungai Melaka 2026 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris.

Beliau berkata rekod MBOR terbaharu negeri itu ialah Replika Konda Kondi Terbesar berukuran 3 meter x 6 meter yang dihasilkan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta.

Sementara itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri akan terus menghidupkan Sungai Melaka dengan pelbagai aktiviti kebudayaan, rekreasi, keusahawanan, seni dan kegiatan ekonomi yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

Usaha itu termasuk penganjuran Festival Sungai Melaka yang memasuki edisi ke-17 tahun ini yang turut menjadi platform memperkenalkan keunikan sungai itu kepada dunia dan membuka ruang kepada pelbagai komuniti untuk bersama-sama menghidupkan persekitaran sungai tersebut.

Ab Rauf berkata festival pada tahun ini melibatkan penganjuran lebih 30 program di tiga daerah termasuk Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar di Sungai Melaka yang menawarkan hadiah keseluruhan RM30,000 dengan peserta memperoleh tempat pertama menerima RM10,000.

“Saya dimaklumkan sebanyak 1,123 pemancing dari dalam dan luar Melaka mengambil bahagian, menunjukkan bahawa aktiviti memancing mempunyai komuniti serta peminat tersendiri,” katanya.

Justeru, beliau berkata pertandingan memancing berpotensi dikembangkan sebagai satu lagi produk pelancongan Melaka yang dianjurkan dalam skala lebih besar dan menawarkan hadiah lumayan.