MANILA, 23 Julai — China bersedia bekerjasama dengan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk mempererat kerjasama demi kesejahteraan rakyat rantau ini serta memperkukuh perpaduan dalam menghadapi cabaran dan ketidaktentuan baharu, kata Menteri Luar China Wang Yi di sini pada Rabu, lapor Xinhua.
Wang berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar China-ASEAN di Manila, Filipina.
Sambil menghargai hasil kerjasama China-ASEAN yang membuahkan kejayaan, Wang menyatakan kesediaan China untuk bekerjasama dengan ASEAN bagi memastikan perkongsian itu terus menjadi pemacu pembangunan dan kebangkitan semula Asia.
Beliau turut berkata bahawa perkongsian itu perlu menjadi model kerjasama serantau Asia-Pasifik serta penanda aras bagi perpaduan dan pengukuhan kendiri Selatan Global.
Wang mengemukakan empat cadangan dalam mesyuarat berkenaan:
Pertama, melindungi persekitaran serantau yang aman untuk keamanan dan pembangunan. Wang berkata semua pihak perlu mengangkat nilai Asia seperti keamanan, kerjasama, keterbukaan dan keterangkuman, menolak campur tangan luar yang tidak berasas, menentang pembentukan kumpulan kecil yang eksklusif, mengelakkan diri daripada terheret dalam konfrontasi berasaskan blok, serta tidak membenarkan militarisme kembali.
Kedua, memperkukuh daya tahan pembangunan serantau. Wang berkata semua pihak perlu kekal komited terhadap kerjasama terbuka, memperdalam integrasi pembangunan, memajukan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN 3.0 serta melaksanakan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dengan piawaian tinggi.
Beliau turut menggesa peningkatan keselamatan makanan dan tenaga serta kestabilan rantaian bekalan di rantau ini.
Ketiga, memajukan pembangunan hijau dan berteraskan inovasi. Wang berkata semua pihak perlu memperluas kerjasama dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan kabel dasar laut.
Usaha perlu dilakukan untuk meneroka sinergi dengan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN serta meningkatkan kerjasama dalam tindakan menangani perubahan iklim, tenaga bersih, pertanian hijau dan ekonomi biru.
Keempat, kekal berteraskan kepentingan rakyat. Wang berkata semua pihak perlu menggalakkan pembangunan inklusif dan saksama bagi memastikan hasil kerjasama China-ASEAN dapat dirasai serta memberi manfaat lebih besar kepada rakyat semua negara.
China bersedia meningkatkan pertukaran dan kerjasama dengan ASEAN dalam bidang pembasmian kemiskinan, kesihatan awam, pendidikan, belia, badan pemikir, pelancongan, media, kebudayaan dan bidang lain, katanya.
Mengenai Laut China Selatan, Wang menggesa negara serantau agar mematuhi sepenuhnya Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan (DOC) di Laut China Selatan.
Beliau menyeru negara serantau menolak usaha pihak luar yang cuba mencetuskan ketegangan, menentang tindakan mana-mana negara yang mencetuskan masalah di Laut China Selatan, serta memastikan inisiatif menjaga keamanan dan kestabilan rantau itu kekal menjadi keputusan sendiri.
Beliau berkata dengan adanya tempoh penting untuk memuktamadkan Kod Tatalaku Laut China Selatan (COC) yang kini terbuka, semua pihak perlu merebut peluang itu, menolak gangguan dan merealisasikan matlamat berkenaan.
Semua pihak bersetuju bahawa China merupakan antara jiran dan rakan dialog terpenting ASEAN, selain menjadi rakan dagang terbesar ASEAN.
Dalam menghadapi landskap antarabangsa yang bergolak, negara anggota ASEAN berharap dapat meningkatkan penyelarasan strategik dengan China bagi memperkukuh daya tahan pembangunan masing-masing serta memajukan kesalinghubungan berkualiti tinggi.
Mereka turut berhasrat memperdalam kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, kecerdasan buatan, perubahan iklim, tenaga bersih serta usaha membanteras jenayah rentas negara.
Semua pihak menyatakan harapan agar COC dapat dicapai seawal mungkin tahun ini dalam usaha bersama mengekalkan keamanan dan kestabilan rantau berkenaan.
Mesyuarat itu turut menerima pakai kenyataan bersama menteri luar China-ASEAN mengenai menangani kesan perkembangan situasi yang berubah di Asia Barat terhadap rantau ini serta memperkukuh kerjasama tenaga serantau.













Tinggalkan Balasan