Tindakan Tegas, Caj Baharu Atasi Isu Kontena Tersadai Di Pelabuhan Sepanggar

KOTA KINABALU, 23 Julai — Tindakan tegas oleh Kerajaan Negeri Sabah dan caj pelabuhan baharu berjaya mengatasi isu kontena tersadai di Pelabuhan Sepanggar di sini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata langkah itu memastikan pemilik 103 kontena yang tersadai melebihi 21 hari dengan tempoh paling lama mencecah 407 hari mengeluarkan kontena mereka.

Beliau berkata langkah menetapkan caj baharu bertindak sebagai pencegahan berikutan kadar dahulu yang terlalu murah menyebabkan pemilik cenderung menyimpan kontena di pelabuhan berbanding menyewa di luar.

“Di bawah pelan tindakan baharu, pihak pelabuhan turut menetapkan syarat bahawa mana-mana kontena yang dibiarkan melebihi 21 hari boleh dilupuskan mengikut peraturan.

“Sebaik kita memaklumkan perkara ini, pemilik dengan segera mengeluarkan kontena dan ruang tersebut dapat digunakan untuk kontena baharu,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Penswastaan) (Pindaan) 2026.

RUU bagi meminda Enakmen Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Penswastaan) 1998 kemudian diluluskan dengan lebih suara menyokong di hadapan Timbalan Speaker DUN Sabah Datuk Richard Yong We Kong selepas dibahas empat ahli dewan.

Mengenai rayuan persatuan pengguna pelabuhan untuk kajian semula kadar caj, Ewon berkata kementerian itu sentiasa terbuka untuk mengadakan sesi libat urus secara berterusan bagi mencapai penyelesaian saksama kepada semua pihak.

“Langkah inklusif turut diambil dengan menerapkan wakil persatuan pengguna pelabuhan, persatuan pemilik kapal dan persatuan penghantaran ke dalam pasukan khas kerajaan bagi membolehkan perbincangan bulanan dijalankan secara berstruktur,” katanya.

Mengenai RUU itu, Ewon berkata pindaan dilakukan berikutan penstrukturan portfolio kerajaan negeri yang menyaksikan hal ehwal pelabuhan dipindahkan daripada Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah.

Selain itu, pindaan itu juga bertujuan menyelaraskan tafsiran “Menteri” di bawah Enakmen Pelabuhan-Pelabuhan Sabah (Penswastaan) 1998 agar seragam dengan Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 1981.

Dalam pada itu, persidangan hari ini turut meluluskan RUU Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Pindaan) 2026 dan RUU Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 yang dibentangkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

RUU Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Pindaan) 2026 antara lain memperluas peranan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) termasuk menasihati kerajaan negeri mengenai pendidikan adat dan undang-undang adat Anak Negeri bagi memastikan warisan dipelihara serta diwarisi.

Pindaan terhadap Enakmen Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah 1998 juga mewujudkan jawatan Pegawai Adat dalam kalangan penjawat awam negeri yang berkelayakan untuk menerima, menyiasat serta memulakan atau mengendalikan prosiding kesalahan adat di Mahkamah Anak Negeri. 

RUU Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 menyediakan enakmen untuk kerangka undang-undang khusus yang menyeluruh bagi mengawal selia kedudukan, pelantikan, fungsi, elaun, serta akauntabiliti jawatan itu.

RUU itu memperuntukkan pelantikan jawatan itu dibuat oleh menteri bertanggungjawab atas syor pegawai daerah dan boleh dibatalkan atas sebab ketidakupayaan, kebankrapan, sabitan kesalahan jenayah atau adat, salah laku atau tidak lagi bermastautin di kawasan berkenaan.