941 Aduan Internet Di Sabah Selesai, 11 Parlimen Lepasi 80 Peratus Liputan 5G

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Sebanyak 941 daripada 987 aduan rasmi berkaitan gangguan liputan Internet di Sabah berjaya diselesaikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Mei lepas.

Kementerian Komunikasi memaklumkan baki 46 aduan lagi kini dalam tindakan susulan oleh pemberi perkhidmatan dan dijangka selesai sepenuhnya dalam masa terdekat.

Menurut kementerian itu, MCMC turut menjalankan audit berkala terhadap pematuhan Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) di seluruh Sabah dalam tempoh sama dan mengenal pasti 494 kes ketidakpatuhan.

Daripada jumlah itu, 332 adalah dalam perancangan tapak pemancar baharu, 104 telah diselesaikan melalui pengoptimuman pemancar, 18 dijangka selesai menjelang Disember 2026 menerusi kaedah sama manakala 40 masih dalam proses siasatan oleh pemberi perkhidmatan dan MCMC. 

“Kerajaan melalui MCMC menjalankan pemantauan berterusan terhadap prestasi rangkaian dan pengukuran kualiti perkhidmatan melalui audit serta siasatan terhadap aduan yang diterima daripada pengguna,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi memaklumkan tindakan tegas boleh diambil terhadap pemberi perkhidmatan yang melanggar syarat lesen atau arahan MCMC di bawah Seksyen 242 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan denda hingga RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam jawapan berasingan kepada Senator Datuk Bobbey Suan mengenai perkembangan 5G, kementerian memaklumkan liputan di kawasan berpenduduk di Sabah kini mencapai 68.9 peratus menerusi Digital Nasional Berhad (DNB) dan 63.9 peratus melalui U Mobile Sdn Bhd setakat 31 Mei lepas.

Sehingga kini, DNB telah membangunkan 593 tapak pemancar 5G di Sabah manakala U Mobile pula telah menaik taraf 482 tapak pemancar 5G.

Liputan 5G di kawasan berpenduduk bagi 11 Parlimen di Sabah iaitu Tuaran, Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Libaran, Batu Sapi, Sandakan, Tawau dan Kalabakan kini melepasi 80 peratus bagi sekurang-kurangnya satu daripada dua penyedia perkhidmatan.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan pembangunan rangkaian oleh kedua-dua Pemberi Perkhidmatan 5G bagi memastikan peluasan liputan dilaksanakan mengikut jadual yang telah dirancang, termasuk memperluas liputan ke kawasan luar bandar secara berperingkat.

“Kerajaan menyasarkan liputan 5G mencapai 98 peratus di kawasan berpenduduk dan kawasan perindustrian, termasuk kawasan luar bandar, menjelang 2030 selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” menurut kementerian itu.