Sebuah Kapal Malaysia Lepasi Laut Merah, Dijangka Tiba Ogos – PM Anwar

89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 39 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 115 101 109 97 115 97 32 77 97 106 108 105 115 32 82 97 109 97 104 32 77 101 115 114 97 32 98 101 114 115 97 109 97 32 119 97 114 103 97 32 65 110 103 107 97 116 97 110 32 84 101 110 116 101 114 97 32 77 97 108 97 121 115 105 97 32 40 65 84 77 41 32 100 105 32 80 117 115 97 116 32 65 115 97 115 32 76 97 116 105 104 97 110 32 68 97 114 97 116 32 40 80

PORT DICKSON, 24 Julai — Sebuah kapal Malaysia telah dibenarkan melalui Laut Merah dan dijangka tiba di Melaka pada awal bulan depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kejayaan itu membuktikan dasar luar yang diamalkan Malaysia selain hubungan baik dengan negara-negara luar membolehkan beberapa isu kritikal dan krisis perkapalan ditangani dengan berkesan.

“Semalam, Presiden dan juga Ketua Eksekutif Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz maklum kepada saya, satu lagi kapal Petronas bertolak dari Yanbu, Arab Saudi melalui Laut Merah, telah diberi kelulusan.

“Kapal itu akan sampai ke Melaka pada awal Ogos, Alhamdulillah,” kata beliau ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Azhan Md Othman.

Laut Merah menjadi laluan perkapalan berisiko tinggi baru-baru ini susulan serangan terhadap kapal-kapal komersial oleh kumpulan Houthi dari Yaman yang disokong Iran.

Houthi pada Isnin mengumumkan “sekatan” ke atas kapal Arab Saudi, kira-kira seminggu selepas tercetus konfrontasi baharu dengan negara jirannya itu, yang berkonflik dengan kumpulan berkenaan selama lebih sedekad.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata hubungan baik Malaysia dengan kepimpinan tertinggi Iran membolehkan kedua-dua negara berhubung secara langsung, sekali gus membantu menyelesaikan isu berkenaan dengan aman dan pantas.

“Nasib baik, Alhamdulillah, hubungan kita dengan kerajaan Iran baik. Kita jaga hubungan dengan Amerika Syarikat (AS), dengan negara Teluk, negara Iran. 

“Jadi bila disekat kapal Petronas pada beberapa bulan yang lalu apabila bermula perang, hubungan baik kita menyebabkan mudah saya menelefon Presiden Iran.

“Setelah menyatakan simpati, saya minta dia lepaskan kapal Petronas. Di antara kapal pertama yang dilepaskan di Selat Hormuz adalah kapal Petronas yang sekarang telah sampai ke Pengerang (Johor),” kata beliau.

Kapal tangki Malaysia Ocean Thunder antara yang terawal diberikan laluan di Selat Hormuz, selamat tiba di Terminal Pengerang, Johor pada 17 April lepas.

Laluan melalui Selat Hormuz, sebuah laluan sempit strategik yang menyaksikan 20 peratus daripada minyak mentah dan gas dunia melaluinya, terjejas berikutan serangan berterusan AS dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sejak 28 Feb lepas.

Ia kemudian disusuli dengan memorandum persefahaman (MoU) perjanjian damai antara AS dengan Iran, dengan persetujuan muktamad antara kedua-dua negara itu perlu dicapai dalam tempoh maksimum 60 hari.

Perkembangan terbaharu menyaksikan AS melancarkan beberapa siri serangan di seluruh Iran sejak minggu lepas, manakala Tehran bertindak balas dengan menyerang kemudahan dan pangkalan yang didakwanya digunakan oleh tentera AS di beberapa negara di seluruh Asia Barat.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan pendekatan Kerajaan MADANI yang kekal menjalinkan hubungan baik dengan kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China, negara-negara Teluk dan Iran membuktikan Malaysia mampu mempertahankan kepentingan strategiknya tanpa mengorbankan prinsip ketegasan negara.

“Ada orang tegur mengapa saya baik dengan China atau baik dengan Amerika. Sebagai negara berkembang, kita baik (dengan negara-negara berkenaan).

“Tapi kalau pembunuhan di Gaza ataupun sebelumnya perang serangan Amerika Syarikat ke atas negara Islam Iran, Malaysia adalah antara negara pertama yang adakan sidang Parlimen khas mengutuk serangan Israel dan Amerika Syarikat,” kata beliau.