SAMENTA Gesa PKS Pelbagai Pasaran Eksport Susulan Tarif Baharu AS

KUALA LUMPUR, 24 Julai — Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) segera mempelbagaikan pasaran eksport bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran tertentu, susulan pelaksanaan tarif import baharu Amerika Syarikat (AS) sebanyak 10 peratus.

Presiden Kebangsaan SAMENTA Datuk William Ng berkata pengeksport PKS perlu memanfaatkan sepenuhnya perjanjian perdagangan serantau yang disertai Malaysia, khususnya Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), untuk menembusi pasaran berpotensi tinggi di Asia Timur, Australasia dan Asia Barat.

Beliau berkata pada masa sama, PKS perlu meningkatkan rantaian nilai produk dengan memberi tumpuan kepada pengeluaran produk berteknologi tinggi dan berspesifikasi khusus, sekali gus mengurangkan kecenderungan pembeli untuk beralih kepada pembekal lain.

Ng berkata demikian susulan pelaksanaan tarif import baharu sebanyak 10 peratus oleh Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan Amerika Syarikat 1974 yang mula berkuat kuasa hari ini.

Beliau menjelaskan tarif di bawah Seksyen 301 merupakan tindakan kawal selia perdagangan yang dikenakan di peringkat negara berkaitan mekanisme penguatkuasaan nasional, bukannya berpunca daripada ketidakpatuhan operasi oleh pengeksport Malaysia secara individu.

“Namun, oleh sebab tarif itu dikenakan secara menyeluruh ke atas kategori eksport negara, PKS yang selama ini mematuhi piawaian antarabangsa serta melabur bagi memenuhi standard buruh, alam sekitar dan tadbir urus (ESG) turut menerima kesan secara tidak adil,” katanya.

Menurut beliau, tarif menyeluruh sebanyak 10 peratus itu meletakkan PKS dalam kedudukan sukar sama ada menyerap kos tambahan duti yang boleh menjejaskan aliran tunai atau menaikkan harga eksport dengan risiko kehilangan pelanggan di pasaran AS kepada pesaing.

Sementara itu, SAMENTA menggesa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melaksanakan langkah intervensi bersasar bagi membantu pengeksport tempatan.

Antara cadangannya ialah mewujudkan geran padanan khusus bagi menyokong usaha mempelbagaikan pasaran eksport menerusi Geran Pembangunan Pasaran (MDG) sedia ada atau skim tambahan bagi membantu PKS menampung kos kemasukan ke pasaran baharu serta mendapatkan pensijilan kawal selia di pasaran alternatif.

Ng berkata PKS juga memerlukan bantuan kewangan dalam bentuk pembiayaan bersama kos audit bagi memastikan dokumentasi pematuhan standard buruh terus memenuhi keperluan antarabangsa.

Beliau berkata SAMENTA turut berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan untuk memperluas penggunaan Pensijilan Ekonomi Kitaran (CEC), iaitu skim pensijilan pertama seumpamanya di ASEAN.

“Dengan mengamalkan ekonomi kitaran, PKS mampu mengurangkan kebergantungan terhadap sumber, menurunkan kos tenaga, memperkukuh kredibiliti alam sekitar dan ESG yang boleh disahkan, selain meningkatkan daya tahan dalam menghadapi keperluan pematuhan global yang semakin ketat,” katanya.

Ng turut menggesa kerajaan mempercepat pelaksanaan kerangka perundangan nasional berkaitan larangan import dari negara ketiga yang dikaitkan dengan buruh paksa, yang menurut beliau merupakan langkah paling penting untuk memastikan Malaysia dikeluarkan secara kekal daripada senarai Seksyen 301 USTR.