Petros Teruskan Pembangunan Medan Minyak AKW, Bekal Gas Loji Janakuasa CCGT Miri

KUCHING, 24 Julai — Projek Adong Kechil West (AKW) oleh Petroleum Sarawak Bhd (Petros) yang seterusnya akan menumpukan kepada pembangunan kemudahan pengeluaran dan infrastruktur untuk membekalkan gas ke loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) Miri, yang disasarkan beroperasi menjelang akhir 2027.

Langkah itu dibuat selepas Petros dan Petra Energy Bhd berjaya memulakan pengeluaran minyak pertama melalui sistem pengeluaran awal (EPS) projek AKW di Blok SK433.

Petros dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dengan memanfaatkan potensi sumber petroleum darat Sarawak, AKW menyumbang ke arah memperkukuh daya tahan bekalan untuk keperluan tenaga masa depan Miri dan menjamin keselamatan tenaga jangka panjang di negeri itu.

Menurutnya, kejayaan berkenaan adalah hasil daripada kerja penggerudian telaga penilaian dan pembangunan projek AKW pada 2023, serta mencerminkan kejayaan yang diterajui oleh Sarawak untuk menghidupkan semula dan membangunkan sumber petroleum darat negeri itu walaupun berdepan cabaran teknikal yang kompleks.

“Sebagai satu pendekatan pembangunan secara berperingkat, EPS membolehkan pengeluaran dimulakan lebih awal sambil membekalkan data dan maklumat penting mengenai keadaan takungan dan operasi yang kritikal bagi menambah baik pembangunan medan minyak pada masa hadapan.

“Data ini akan menyokong pembangunan bersepadu untuk penemuan di kawasan sekitar sebagai kluster AKW, sekali gus memaksimumkan potensi sumber dan mengekalkan bekalan gas jangka panjang. AKW dijangka mampu menghasilkan sehingga kira-kira 800 tong minyak sehari,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Sarawak Petros Datuk Abang Arabi Abang Narudin berkata pencapaian berkenaan bukan sekadar kejayaan dalam melaksanakan projek, tetapi memberi makna yang lebih besar lagi.

“Kami bukan sahaja meraikan kejayaan dalam melaksanakan projek ini, tetapi juga menghargai kekuatan kerjasama antara pihak-pihak yang menjayakannya.

“Sebagai pengurus sumber Sarawak untuk operasi petroleum di darat, Petros kekal komited memastikan penerokaan dan pembangunan sumber hidrokarbon negeri dijalankan secara bertanggungjawab melalui kerjasama strategik dan kecemerlangan operasi, seterusnya mencipta nilai jangka panjang untuk Sarawak dan rakyatnya,” kata beliau.