Sukan Komanwel: Ahmad Zahid Ucap Selamat Maju Jaya Kepada Kontinjen Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Julai — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan sokongan dan mendoakan kejayaan kontinjen negara yang memulakan cabaran Temasya Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland.

Beliau berkata langkah kontinjen Malaysia diiringi doa dan sokongan padu seluruh rakyat, seiring dengan kibaran megah Jalur Gemilang pada upacara pembukaan temasya itu pada awal pagi tadi. 

“Selamat Maju Jaya saya ucapkan kepada semua atlet, jurulatih dan pegawai kontinjen negara yang membawa cabaran Malaysia sepanjang temasya ini.

“Bertandinglah dengan penuh keyakinan, junjung tinggi semangat kesukanan dan berikan yang terbaik demi negara,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Ahmad Zahid turut mendoakan agar segala urusan kontinjen Malaysia dipermudah dan dikurniakan kesihatan, keselamatan serta kekuatan, dan mereka akan menghadiahkan kejayaan yang membanggakan buat negara.

Temasya Sukan Komanwel 2026 berlangsung di Glasgow dari 23 Julai hingga 2 Ogos.