SBM Offshore Perkukuh Peranan Malaysia Dalam Projek Tenaga Luar Pesisir Global

KUALA LUMPUR, 27 Julai — Malaysia terus memperkukuh kedudukannya dalam rantaian nilai tenaga luar pesisir global apabila pasukan kejuruteraan dan teknikal tempatan kini diberi tanggungjawab yang semakin kompleks dalam pelaksanaan projek di peringkat antarabangsa.

Seiring perkembangan itu, SBM Malaysia Sdn Bhd (SBM Offshore Malaysia) berkembang daripada pejabat sokongan kepada Pusat Pelaksanaan Global (GEC) yang strategik dan berpangkalan di Kuala Lumpur, menyumbang dalam bidang kejuruteraan, rantaian bekalan, pembinaan, pentauliahan, kawalan projek serta fungsi sokongan perniagaan.

Syarikat itu, yang menyambut ulang tahun ke-20 operasinya di Malaysia tahun ini, merancang meningkatkan jumlah tenaga kerjanya di Kuala Lumpur daripada kira-kira 500 orang ketika ini kepada lebih 600 orang menjelang 2027, sejajar peningkatan aktiviti projek di seluruh dunia. 

Pengurus Besar Negara SBM Offshore Malaysia Christine Lim berkata transformasi itu mencerminkan pelaburan berterusan syarikat dalam membangunkan keupayaan tempatan, pembangunan bakat dan pendedahan kepada projek bertaraf antarabangsa.

“Sepanjang 20 tahun lepas, SBM Offshore Malaysia kini berkembang menjadi sebuah GEC yang strategik serta penyumbang yang dipercayai kepada operasi global SBM Offshore.

“Daripada sebuah pejabat tempatan yang menyokong pelaksanaan projek, Malaysia kini muncul sebagai hab utama yang menyediakan keupayaan pelaksanaan projek bagi projek tenaga luar pesisir yang kompleks,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata operasi SBM Offshore Malaysia kini memainkan peranan penting dalam memastikan pelaksanaan projek kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) dijalankan secara selamat, cekap dan mengikut perancangan.

DARIPADA PEJABAT SOKONGAN KEPADA PUSAT PELAKSANAAN GLOBAL

Sejak memulakan operasi di Malaysia, pasukan tempatan SBM Offshore telah menyumbang kepada 13 projek antarabangsa melibatkan FPSO, sistem tambatan turret dan tambatan kaki sauh katenari.

Selepas penglibatan awal dalam projek FPSO Kikeh, syarikat itu terus menyumbang kepada beberapa projek FPSO antarabangsa termasuk FPSO Aseng, FPSO N’goma, FPSO Sepetiba dan FPSO Alexandre de Gusmão.

Lim berkata setiap projek itu memperkukuh kepakaran teknikal serta keupayaan pelaksanaan operasi di Malaysia, sekali gus membolehkan negara memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam kumpulan berkenaan.

“Transformasi kami didorong oleh kejayaan melaksanakan projek yang semakin kompleks serta komitmen berterusan dalam membangunkan keupayaan dan bakat tempatan.

“Pencapaian ini seterusnya membolehkan SBM Offshore Malaysia berkembang menjadi sebuah GEC bersepadu yang menyokong pelaksanaan projek di seluruh operasi global kami,” katanya.

Menurut Lim, pasukan di Malaysia kini terlibat di sepanjang kitaran hayat projek, merangkumi perkhidmatan kejuruteraan dan teknikal, pengurusan rantaian bekalan, pembinaan, pentauliahan serta kawalan projek.

Penglibatan dalam projek antarabangsa utama itu turut memberi peluang kepada tenaga profesional tempatan memperoleh pengalaman dalam pelaksanaan projek merentas disiplin dan wilayah, katanya.

Lim berkata pengalaman tersebut pada masa yang sama meningkatkan keupayaan pasukan Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan sekerja di seluruh operasi antarabangsa SBM Offshore serta mengekalkan standard tadbir urus, keselamatan dan kualiti yang seragam.

MEMBANGUNKAN KEUPAYAAN TEKNIKAL RAKYAT MALAYSIA

Tenaga kerja mahir serta ekosistem tenaga yang mantap menjadikan Malaysia sebagai lokasi penting dalam rangkaian pelaksanaan global SBM Offshore.

Operasi syarikat di Kuala Lumpur menghimpunkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, rantaian bekalan, pelaksanaan projek serta pelbagai fungsi sokongan perniagaan.

Lim berkata struktur pelbagai disiplin itu membolehkan pusat di Malaysia menyokong penyampaian infrastruktur tenaga luar pesisir yang semakin kompleks menerusi kerjasama rapat dengan rakan strategik, pembekal dan pemain industri.

“Sebagai sebuah GEC, SBM Offshore Malaysia memainkan peranan penting dalam memacu kecemerlangan operasi, menyokong penyampaian projek dan mewujudkan nilai di seluruh organisasi global kami,” katanya.

Pendekatan itu diperkukuh menerusi model “One Company” SBM Offshore yang menyepadukan kepakaran dan keupayaan dari pelbagai wilayah serta disiplin.

Menurut Lim, model itu menggalakkan perkongsian pengetahuan, membolehkan pasukan menyelaraskan matlamat bersama dan menangani cabaran projek secara kolektif.

Ia juga memastikan tadbir urus, keselamatan dan standard kualiti dilaksanakan secara konsisten di semua projek tanpa mengira lokasi.

Seiring peluasan tanggungjawab projek SBM Offshore Malaysia, pembangunan bakat terus menjadi antara keutamaan strategik syarikat.

Justeru itu, bagi menyokong agenda itu syarikat terus memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan menerusi program pembelajaran berstruktur, bimbingan, pembangunan kerjaya dan pendedahan kepada projek antarabangsa, kata Lim.

Inisiatif itu membolehkan jurutera dan tenaga teknikal Malaysia membangunkan kepakaran khusus sambil menyumbang kepada pelaksanaan projek dalam portfolio global syarikat.

“Tenaga kerja kami merupakan nadi kejayaan syarikat. Bakat Malaysia kini menjadi penyumbang penting kepada keupayaan global SBM Offshore, membantu memacu inovasi, kecemerlangan pelaksanaan projek dan prestasi operasi di seluruh organisasi kami,” katanya.

Peningkatan jumlah tenaga kerja kepada lebih 600 orang menjelang 2027 dijangka menyokong pertambahan aktiviti projek global serta memperkukuh keupayaan pusat di Malaysia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar.

Syarikat itu juga sedang giat mencari tenaga profesional yang berpengalaman dalam industri minyak dan gas.

MELAHIRKAN GENERASI BAHARU TENAGA MAHIR

Selain merekrut tenaga profesional berpengalaman, SBM Offshore Malaysia turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dalam bidang kejuruteraan dan teknikal generasi baharu.

Lim berkata kerjasama dengan universiti serta inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) memainkan peranan penting dalam menyediakan golongan muda untuk memasuki industri yang semakin memerlukan kepakaran teknikal, kreativiti, semangat kerjasama dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Menerusi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan pelaksanaan pelbagai inisiatif STEM, syarikat menyediakan pendedahan kepada industri, peluang pembelajaran serta gambaran kerjaya dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan inovasi kepada para pelajar.

Pejabat SBM Offshore Malaysia juga menerima penempatan graduan muda dari Suriname berkaitan projek kapal FPSO Gran Morgu yang sedang dibina di China sebelum ditempatkan di Suriname.

Menurut Lim, inisiatif itu mencerminkan keyakinan SBM Offshore bahawa pendedahan awal kepada industri serta pengalaman antarabangsa merupakan elemen penting dalam membangunkan dan menarik bakat baharu.

Syarikat itu turut menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dalam bidang kejuruteraan dan teknikal menerusi program bimbingan, pembangunan bakat, kerjasama dengan universiti serta program libat urus komuniti.

Beliau berkata aspek keterangkuman, kepelbagaian dan kesaksamaan merupakan elemen penting dalam membentuk pasukan yang inovatif serta berprestasi tinggi.

“Dengan menghimpunkan pelbagai perspektif dan pengalaman, kami dapat memperkukuh kerjasama, memupuk inovasi serta meningkatkan keupayaan untuk mencipta nilai mampan kepada syarikat, pelanggan dan komuniti,” katanya.

Di luar aktiviti perniagaan dan pembangunan bakat, SBM Offshore Malaysia turut melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan pemuliharaan ekosistem marin, pendidikan STEM serta program pembangunan komuniti.

Lim berkata usaha itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap amalan perniagaan yang bertanggungjawab serta usaha mewujudkan impak positif melangkaui operasi terasnya.

BERSEDIA UNTUK PERTUMBUHAN SETERUSNYA

Mengenai perancangan masa hadapan, SBM Offshore Malaysia berhasrat untuk terus memperkukuh kepakaran teknikal, membangunkan tenaga kerja serta meningkatkan kerjasama dalam rangkaian operasi global syarikat.

Pada masa sama, syarikat akan terus memperluas kerjasama dengan universiti, pemain industri serta ekosistem tenaga secara menyeluruh.

Lim berkata keutamaan itu akan memperkukuh kedudukan pusat operasi di Malaysia untuk menyumbang kepada pelaksanaan projek antarabangsa yang semakin kompleks.

“Tumpuan kami kekal kepada usaha memperkukuh keupayaan, melabur dalam pembangunan tenaga kerja serta meningkatkan kerjasama di seluruh organisasi global kami.

“Seiring perkembangan industri, kami yakin SBM Offshore Malaysia berada pada kedudukan terbaik untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam memacu kecemerlangan pelaksanaan projek serta menyampaikan nilai kepada portfolio global kami,” katanya.