NEW YORK, 28 Julai — Gergasi teknologi Apple kembali merampas kedudukan sebagai syarikat paling bernilai di dunia pada Isnin selepas mengatasi pengeluar cip Nvidia, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Nilai pasaran Apple meningkat kepada kira-kira US$4.94 trilion, melepasi Nvidia yang dianggarkan bernilai sekitar US$4.83 trilion.
Para pelabur semakin melihat pendekatan berhati-hati Apple dalam perbelanjaan modal sebagai kekuatan, khususnya berbanding pesaingnya yang memperuntukkan puluhan bilion dolar bagi membangunkan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) baharu.
Ketika syarikat seperti Alphabet dan Tesla meningkatkan perbelanjaan bagi menyokong pusat data AI, “robotaxi” dan teknologi robotik, Apple pula mengurangkan perbelanjaan modalnya sepanjang tiga suku tahun lalu, meskipun terus mengembangkan platform Apple Intelligence.
Pelabur akan meneliti keputusan kewangan Apple pada Khamis bagi mendapatkan petunjuk mengenai hala tuju AI syarikat itu, termasuk keupayaannya mengembangkan Apple Intelligence tanpa peningkatan besar dalam perbelanjaan modal atau tekanan terhadap margin operasi.
Tim Cook dijangka menyertai sidang bersama pelabur mengenai keputusan kewangan Apple buat kali terakhir sebagai ketua pegawai eksekutif sebelum beliau menjadi pengerusi eksekutif pada 1 Sept, dengan John Ternus dijangka mengambil alih jawatan berkenaan.
















Tinggalkan Balasan