TOKYO, 29 Julai — Dua wanita maut manakala seorang lagi ditemukan tidak sedarkan diri selepas letupan menggegarkan sebuah pusat beli-belah di Kyushu, barat daya Jepun, beberapa jam selepas gempa bumi kuat berukuran 7.1 magnitud melanda kawasan itu, lapor Kyodo News.
Menurut sumber kerajaan, letupan di Aeon Mall Kumamoto dipercayai berpunca daripada kebocoran gas selepas gempa bumi yang melanda Wilayah Kumamoto kira-kira 4.27 petang pada Selasa.
Kerajaan wilayah sebelum ini memaklumkan bahawa 10 orang gagal dikesan di lokasi kejadian.
Pasukan Pertahanan Diri Jepun (SDF) menjalankan operasi mencari dan menyelamat di pusat beli-belah itu, dengan Menteri Pertahanan Shinjiro Koizumi berkata kira-kira 3,600 anggota telah dikerah ke kawasan yang terjejas.
Pengendali pusat beli-belah itu, Aeon Co., berkata letupan berlaku selepas para pekerja dan pelanggan diarahkan berpindah susulan gempa bumi berkenaan.
Menurut polis wilayah, kira-kira 200 orang berjaya keluar dari bangunan sebelum letupan berlaku.
Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana memaklumkan bahawa ramai lagi dikhuatiri masih terperangkap di dalam bangunan selepas tingkat duanya runtuh.
Seorang individu yang berjaya menghubungi pekerja yang terperangkap di dalam bangunan itu dimaklumkan bahawa beberapa orang sedang menunggu untuk diselamatkan.
Seorang pengunjung yang sempat menyelamatkan diri pula berkata beberapa individu dilihat kembali memasuki bangunan selepas pada mulanya keluar sejurus gempa berlaku.
Jurucakap Aeon berkata pegawai bertugas pada mulanya melaporkan bahawa semua individu telah dipindahkan berdasarkan pemerhatian secara langsung.
Bagaimanapun, lebih 30 minit kemudian, syarikat itu menerima laporan mengenai letupan berkenaan.
Insiden itu menyebabkan siling dan dinding pusat beli-belah berkenaan runtuh sehingga mendedahkan kerangka keluli bangunan, manakala serpihan bertaburan di sekitar kompleks.
Seorang lelaki berusia 44 tahun yang mengusahakan salun rambut berhampiran berkata dia terdengar dentuman kuat seakan-akan sebuah kenderaan besar merempuh sesuatu.
“Saya melihat kepulan asap putih sejurus selepas letupan,” katanya.













Tinggalkan Balasan