China Seru Perkukuh Kerjasama, Pacu Pembangunan Global

China akan terus memainkan peranan sebagai kuasa besar yang bertanggungjawab, mengaitkan pembangunan sendiri dengan kemajuan bersama negara lain serta bertindak sebagai pemangkin dan penyumbang kepada pembangunan global, kata Menteri Luar Wang Yi.

Wang membuat kenyataan itu ketika berucap pada mesyuarat peringkat tinggi sempena ulang tahun kelima Inisiatif Pembangunan Global (GDI) yang berlangsung di Beijing pada Selasa.

Beliau berkata sejak GDI diketengahkan China lima tahun lalu, mekanisme kerjasama dalam pelbagai bidang terus diperkukuh dengan banyak hasil substantif berjaya dicapai.

Wang turut menekankan kepentingan untuk menjunjung panji pembangunan serta menggalakkan penyelarasan GDI dengan agenda pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata semua pihak perlu memperkukuh solidariti dan kolaborasi serta mewujudkan persekitaran yang aman untuk menyokong pembangunan, selain bersinergi mempercepat pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030. 

Antara perkara lain yang ditekankan beliau termasuk mendorong keterbukaan dan pembelajaran bersama, memperkasa pemacu pembangunan berasaskan inovasi serta mengamalkan multilateralisme dan menambah baik sistem tadbir urus global.