WASHINGTON, 30 Julai — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK), Andy Burnham, memaklumkan kepadanya mengenai rancangan untuk memperluas penerokaan dan pengeluaran minyak di Laut Utara, lapor Anadolu Ajansi.
Bercakap kepada pemberita di Rumah Putih, Trump memuji komitmen Burnham untuk memajukan sumber tenaga luar pesisir negara itu.
“Beliau menyatakan satu perkara yang sangat baik. Beliau berkata akan meningkatkan pengeluaran minyak di Laut Utara. Jika beliau berbuat demikian, negara anda akan menjadi kaya,” kata Trump.
Beliau membandingkan pendirian Burnham dengan bekas Perdana Menteri Keir Starmer sambil berkata beliau berulang kali menggesa Starmer supaya meningkatkan pengeluaran minyak di kawasan berkenaan.
“Saya pernah berkata kepada Perdana Menteri Starmer, ‘Manfaatkanlah sumber minyak di Laut Utara!’” katanya.
Trump berkata Britain memiliki antara sumber minyak luar pesisir paling bernilai di dunia, namun mengkritik kerajaan terdahulu kerana tidak memanfaatkannya secara optimum.
“Anda memiliki antara penemuan minyak paling bernilai di dunia. Jika United Kingdom memanfaatkannya, negara itu akan kembali kaya.
“Saya tidak dapat meyakinkan Starmer supaya memanfaatkannya. Ia sesuatu yang sukar dipercayai,” kata beliau.
Trump berkata beliau baru-baru ini bercakap dengan Burnham yang memberi jaminan bahawa dasar berkaitan pembangunan sumber minyak di Laut Utara akan diubah.
Minggu lepas, media Britain melaporkan Burnham dijangka bertindak pantas untuk meningkatkan pengeluaran minyak dan gas di Laut Utara sebagai sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh menangani krisis kos sara hidup.
Langkah memperluas penerokaan dan pengeluaran minyak di kawasan itu dijangka mencetuskan semula perdebatan mengenai hala tuju dasar tenaga UK.
Penyokong berpendapat peningkatan pengeluaran dalam negara dapat memperkukuh keselamatan tenaga dan mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran antarabangsa.
Pengkritik pula berpandangan bahawa pembangunan projek baharu minyak dan gas boleh bercanggah dengan sasaran iklim serta usaha peralihan kepada tenaga boleh baharu.













Tinggalkan Balasan