Pimpinan Perniagaan Eropah, Johari Ghani Bincang FTA Malaysia-EU Minggu Depan

KUALA LUMPUR, 30 Julai — Pimpinan perniagaan daripada hampir 30 syarikat Eropah akan mengunjungi Kuala Lumpur minggu depan untuk bertemu dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta pegawai-pegawai kanan kerajaan ketika rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-EU dijangka selesai pada 2027.

Diketuai oleh Kesatuan Eropah-Majlis Perniagaan ASEAN (EU-ABC), lawatan selama tiga hari dari 4 hingga 6 Ogos bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Eropah melalui dialog yang menyeluruh.

Menurut EU-ABC dalam kenyataan hari ini, syarikat Eropah berminat untuk meneroka peluang pelaburan dalam sektor pertumbuhan utama.

Antara sektor itu termasuklah kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital, pembuatan termaju, kesihatan dan pemakanan, tenaga bersih dan infrastruktur mampan.

“Lawatan ini berlangsung ketika hubungan perdagangan ASEAN-EU memperbaharui momentum baharu apabila Kesatuan Eropah (EU) berusaha untuk menyelesaikan rundingan FTA bersama tiga negara anggota ASEAN – Malaysia, Filipina dan Thailand – menjelang tahun depan,” menurutnya.

 Pengarah Eksekutif EU-ABC Chris Humphrey berkata perniagaan Eropah menyokong penuh usaha untuk memuktamadkan rundingan FTA Malaysia-EU pada 2027.

“Kehendak politik kedua-dua pihak adalah jelas yang mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan dua hala dan hubungan ASEAN-EU yang lebih luas.

“Kami menantikan perjanjian berkualiti tinggi yang membawa manfaat sebenar kepada perniagaan Malaysia dan Eropah seperti akses pasaran yang lebih luas, halangan bukan tarif yang berkurangan serta memudah cara urusan kastam dan perdagangan yang lebih baik,” katanya.

Delegasi itu turut dijangka bertemu dengan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mereka juga akan bertemu dengan pegawai-pegawai daripada Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Selain perbincangan umum mengenai prospek perdagangan Malaysia, kami berhasrat untuk meneliti bagaimana perdagangan dan pelaburan dalam sektor tertentu dapat dipermudahkan selain mengenal pasti peluang nyata supaya syarikat Eropah boleh menyokong transformasi ekonomi jangka panjang Malaysia.

“Eropah telah lama melabur dalam masa depan Malaysia. Kami ingin membantu merealisasikan aspirasi bersama serta memperkukuh daya tahan, integrasi ekonomi dan kemakmuran,” katanya.

EU merupakan satu daripada lima rakan dagang terbesar Malaysia, dengan perdagangan dua hala barangan mencecah €48.9 bilion (€1=RM4.6843) pada 2025, terdiri daripada eksport Malaysia ke EU bernilai €30.3 bilion dan eksport EU ke Malaysia bernilai €18.6 bilion.

Malaysia juga merupakan destinasi pelaburan utama bagi EU, dengan stok pelaburan Eropah di Malaysia mencecah €33.1 bilion pada 2024.