Pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid Pemangkin Pemodenan Sektor Awam

KUALA LUMPUR, 2 Ogos — Pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) yang bermula hari ini bagi negeri yang bercuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu disifatkan sebagai langkah positif ke arah memodenkan serta memperkasakan pendigitalan perkhidmatan awam tanpa menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Di TERENGGANU, Pegawai Penerangan Jabatan Penerangan negeri Izamuddin Jusoh @ Md Rahim, 37, berkata HBH menyokong pelan pendigitalan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan tidak menjejaskan produktiviti menerusi pemantauan berkesan ketua jabatan.

“Sebagai contoh, skop kerja saya lebih bersifat fleksibel dan mobile. Saya boleh mengesahkan reka bentuk dan menyemak artikel untuk portal secara dalam talian di mana-mana sahaja.

“Kerja pentadbiran dan pengurusan pun sama sahaja. Sekarang, kerja boleh dibuat di mana-mana dengan syarat boleh dihubungi dengan kadar segera atau bila-bila masa oleh ketua jabatan atau rakan sekerja,” katanya dan menambah pelaksanaan HBH juga dijangka membolehkannya menjimatkan penggunaan petrol hingga 30 peratus, sekali gus mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Terengganu Salida Said @ Saat, 41, pula berkata HBH memberikan fleksibiliti kepada pekerja wanita dalam mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga memandangkan pelbagai masalah teknikal seperti sistem, komputer atau pencetak kini boleh diselesaikan secara dalam talian di mana-mana sahaja.

Beliau berkata pelaksanaan itu tidak menjadi masalah baginya kerana pernah bekerja dari rumah sebelum ini, namun menekankan penyelia perlu terus memantau prestasi dan hasil kerja pegawai di bawah seliaan masing-masing.

Di KEDAH, Siti Munirah Zainuddin, 46, dari Yan yang merupakan penjawat awam di sebuah agensi kerajaan di Alor Setar berkata beliau dapat bekerja dari rumah semalam dan hari ini, dan akan kembali bekerja di pejabat esok.

“Saya antara pekerja awal yang dapat bekerja secara hibrid. Walaupun saya perlu datang ke Alor Setar untuk menghantar anak yang bersekolah, saya bersyukur kerana masih mempunyai pilihan lain dengan bekerja di lokasi alternatif.

“Saya hanya perlu pastikan segala kelengkapan dan talian komunikasi berada dalam keadaan terbaik sepanjang hari bekerja. Walaupun tidak berada di pejabat, itu bukan alasan untuk memandang ringan tugas hakiki yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Bagi Hafizul Amran Ahmad, 52, dasar HBH memberikan kelegaan untuk beliau dan isteri dalam mengurus penjagaan ibu yang kurang sihat kerana pelaksanaannya membolehkan mereka mengatur jadual kerja serta peribadi dengan lebih baik, selain mengambil iktibar daripada kejayaan banyak negara lain yang terbukti dapat meningkatkan produktiviti kerja menerusi amalan berkenaan.

Di KELANTAN, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Zarina Zakaria menegaskan bahawa HBH bukannya cuti tambahan, sebaliknya satu bentuk pengaturan kerja berasaskan kepercayaan dan kebertanggungjawaban.

“Keutamaan kami ialah memastikan urusan rakyat, program komuniti dan gerak kerja perpaduan terus berjalan dengan cekap dan berkesan,” katanya.

Dasar HBH yang membolehkan penjawat awam bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari bekerja dari rumah (BDR) atau lokasi alternatif, berkuat kuasa pada 1 Ogos.

Mengikut Garis Panduan Pelaksanaan HBH, bagi negeri yang bercuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad, kehadiran ke pejabat diwajibkan pada Isnin dan Jumaat.

Bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu yang bercuti pada Jumaat dan Sabtu pula, hari wajib bertugas di pejabat adalah pada Ahad dan Khamis.