Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan JPM Dilantik SUK Pulau Pinang – KSN

PUTRAJAYA, 3 Ogos — Timbalan Ketua Pengarah (Analisa), Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Dr Jafri Abdul Jalil dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata Jafri, 58, memiliki pengalaman luas selama 32 tahun dalam bidang penyelidikan, dasar dan perancangan strategik serta pengoperasian pengurusan bencana.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Jafri yang berkelulusan ljazah Kedoktoran Perhubungan Antarabangsa dari London School of Economics and Political Science, United Kingdom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Azri berkata Jafri turut pernah berkhidmat di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Saya yakin dengan kepakaran, pengalaman dan kewibawaan dimiliki, beliau dapat menerajui pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang dengan cemerlang, memacu agenda pembangunan negeri serta mengukuhkan sinergi dan hubungan strategik antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri demi manfaat yang berterusan kepada rakyat,” katanya.

Pelantikan Jafri bagi menggantikan Datuk Seri Zulkifli Long, 60, yang menamatkan tempoh perkhidmatannya semalam selepas dilantik ke jawatan itu pada September 2024.