BEIJING, 3 Ogos — Visi Pembangunan Slovakia 2040 akan digubal dengan mempelajari dan mengambil pengalaman daripada model pembangunan China yang berteraskan perancangan jangka panjang.
Presiden Slovakia Peter Pelegrini berkata demikian dalam satu temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) sempena lawatan rasminya ke Beijing baru-baru ini.
Pelegrini berkata beliau bersetuju dengan konsep dan inisiatif saranan China dalam tadbir urus kecerdasan buatan (AI) di peringkat global, selain mengesyorkan agar AI dimanfaatkan semua negara berasaskan nilai universal. Menurut beliau, keselamatan data pelru dipelihara secara ketat dan halangan teknologi harus ditentang.
“Selaku negara anggota Kesatuan Eropah (EU), Slovakia bersedia menjadi jambatan komunikasi antara negara-negara Eropah dan China, mewujudkan persekitaran yang kondusif kepada pelaburan China, serta menggalakkan dialog dan kerjasama antara Eropah dan China sambil menolak konfrontasi.
“Saya memberi penghargaan tinggi terhadap pelbagai kerangka kerjasama termasuk Inisiatif Pembangunan Global (GDI), dan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI),” katanya.
Pelegrini berkata Slovakia merancang untuk menggalakkan syarikat berpotensi dari kedua-dua negara membuka operasi di negara masing-masing selain memperluas program pertukaran belia antara institusi pengajian tinggi.
Mengulas lanjut, Pelegrini menyifatkan Presiden China Xi Jinping sebagai pemimpin yang mempunyai karisma, sabar, bijaksana serta mesra rakyat.
“Lawatan ke China kali ini boleh disifatkan sebagai sangat produktif, dan saya akan aktif memperkenalkan dan mempromosikan peluang kerjasama antara Slovakia dengan China sebaik pulang ke tanah air,” tambah beliau.
Lawatan Pelegrini ke Beijing itu merupakan kunjungan pertama presiden Slovakia ke China dalam tempoh 23 tahun.
Perkongsian Strategik China-Slovakia yang terjalin pada 2024 menandakan kemuncak dalam hubungan bilateral yang dibina sejak sekian lama.
Sebelum ini, Pellegrini pernah mengunjungi China beberapa kali dan menyatakan kekagumannya terhadap pembangunan pesat negara itu sepanjang sedekad lalu dalam pelbagai bidang, termasuk infrastruktur dan AI.
Selepas mendapat pendedahan mengenai pelbagai teknologi canggih di China seperti robot humanoid dan pemanduan automatik, beliau optimis terhadap prospek kerjasama dua hala dalam bidang pendigitalan dan inovasi teknologi.













Tinggalkan Balasan