PUTRAJAYA, 3 Ogos — Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini menegaskan komitmen penuh untuk terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa dalam menjaga keselamatan sempadan negara susulan kes dadah membabitkan seorang juruterbang Malaysia di Indonesia baru-baru ini.
Pengendali lapangan terbang itu memberitahu Bernama pihaknya akan memberikan bantuan yang diperlukan berhubung kes berkenaan, selain terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memperkukuh aspek keselamatan dan penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“MAHB kekal komited dalam menyokong usaha pelbagai agensi ini bagi menjaga keselamatan sempadan Malaysia daripada aktiviti menyalahi undang-undang dan bersedia memberikan sebarang bantuan yang diperlukan berkaitan kes ini,” katanya.
MAHB menjelaskan pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) bertanggungjawab mencegah sebarang campur tangan secara tidak sah yang boleh menjejaskan keselamatan penerbangan awam dan pengangkutan udara.
Menurut MAHB, AVSEC melaksanakan protokol keselamatan ketat dan menggunakan sistem saringan canggih untuk mengesan ancaman seperti bahan letupan, senjata serta barangan berbahaya lain.
“Sistem pengendalian bagasi di KLIA direka bagi memenuhi keperluan keselamatan penerbangan. Semua bagasi daftar masuk penumpang dan kru syarikat penerbangan yang berlepas melalui KLIA akan menjalani saringan keselamatan mengikut prosedur ditetapkan,” katanya.
MAHB memaklumkan bahawa pengesanan, penyiasatan dan penguatkuasaan kes membabitkan bahan terlarang yang tidak mengancam keselamatan penerbangan adalah di bawah bidang kuasa pihak penguat kuasa berkaitan.
Ini termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi kes membabitkan dadah, barangan larangan serta bahan terlarang lain, manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengendalikan kes berkaitan penyeludupan hidupan liar.
Menurut MAHB, agensi berkenaan menjalankan tugas masing-masing mengikut undang-undang dan prosedur penguatkuasaan yang ditetapkan, manakala MAHB menyokong usaha itu menerusi kerjasama operasi dan perkongsian maklumat.
“Antara Januari hingga Julai tahun ini, pasukan AVSEC KLIA bekerjasama dengan PDRM dan berjaya mematahkan lebih 30 cubaan penyeludupan bahan terlarang melalui lapangan terbang ini,” menurut MAHB.
Terdahulu, seorang juruterbang Malaysia berusia 39 tahun ditahan sejurus tiba di Indonesia pada 29 Julai lepas kerana disyaki cuba menyeludup dadah dari Malaysia.
Pihak berkuasa Indonesia memaklumkan dadah yang dirampas membabitkan kira-kira 70,114 pil ekstasi dan empat gram berat kasar methamphetamine, dengan nilai anggaran Rp60 bilion (Rp1 juta = RM225.20).
Siasatan awal mendapati suspek sebelum ini dipercayai pernah menyeludup dadah ke Indonesia dan mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah antarabangsa, manakala siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti anggota sindiket lain serta penerima dadah berkenaan.
Sementara itu, susulan insiden berkenaan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) turut melakukan siasatan bagi menentukan sama ada prosedur keselamatan penerbangan dipatuhi.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata perkara itu akan dinilai dari sudut kawal selia, termasuk pematuhan syarikat penerbangan terhadap keperluan keselamatan penerbangan serta proses saringan yang dilaksanakan pengendali lapangan terbang.















Tinggalkan Balasan