KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Sebanyak 129,102 pekerja gig wanita berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dilindungi di bawah Skim Lindung Kendiri setakat 30 Jun lepas, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
Beliau berkata jumlah itu adalah sebahagian daripada 1.11 juta pekerja gig berdaftar yang mendapat perlindungan di bawah skim berkenaan bagi melindungi mereka daripada bencana pekerjaan sendiri, termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan ketika menjalankan aktiviti pekerjaan.
“Berdasarkan statistik PERKESO, setakat 30 Jun 2026, jumlah pekerja gig di seluruh negara yang berdaftar dan dilindungi di bawah Skim Lindung Kendiri adalah sebanyak 1,113,017 orang.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 129,102 pekerja gig adalah dalam kalangan wanita,” katanya ketika menjawab soalan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai data penglibatan wanita dalam ekonomi gig serta perlindungan sosial mereka di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata bagi tempoh Januari hingga 30 Jun 2026, sebanyak 4,507 pekerja sendiri termasuk pekerja gig menerima faedah di bawah skim itu melibatkan bayaran sebanyak RM15.19 juta.
Selain skim itu, beliau berkata PERKESO turut menyediakan perlindungan keselamatan sosial khusus kepada golongan wanita, iaitu Skim Lindung Kasih dengan kadar caruman RM120 setahun.
“Dari tempoh Januari hingga 30 Jun 2026, sebanyak 48,180 orang wanita telah mencarum di bawah Skim Lindung Kasih di seluruh negara. Dalam tempoh yang sama, bayaran faedah yang telah dibayar berjumlah RM2.55 juta (RM2,552,221) melibatkan 3,358 wanita.
“Faedah yang dibayar, termasuk faedah hilang upaya kekal, faedah pengurusan mayat, elaun layanan sentiasa, elaun keuzuran, pencen penakat, pemulihan jasmani dan rawatan dialisis,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Norhasmimi mengenai perlindungan pekerja gig wanita daripada risiko gangguan seksual, keganasan dan isu keselamatan ketika bekerja terutama bagi penghantar dan juga pemandu e-panggilan, beliau berkata perkara itu diperuntukkan di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
“Di bawah Bahagian 9 menyediakan peruntukan bagi melindungi pekerja gig dari sudut keselamatan pekerjaan. Ketua pengarah keselamatan dan kesihatan pekerjaan diberi kuasa untuk mengawal selia pematuhan kewajipan oleh entiti kontrak dan pekerja gig berhubung keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya.
Khairul Firdaus berkata isu gangguan seksual turut boleh dirujuk bersama peruntukan Tribunal Akta Gangguan Seksual yang diluluskan baru-baru ini bagi memberikan perlindungan kepada pekerja gig.

















Tinggalkan Balasan