PUTRAJAYA, 6 Ogos — Barisan Nasional (BN) berhasrat mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 tidak lama lagi.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hasrat itu dimaklumkan sendiri kepadanya oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Ketua Menteri selaku Pengerusi BN Melaka telah memaklumkan bahawa beliau berazam untuk mempertahankan kedudukan seluruh 21 kerusi yang dimenangi itu,” katanya pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini hari ini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata BN terbuka untuk mengadakan persefahaman dengan mana-mana pihak dan perkara itu akan diputuskan di peringkat BN Pusat.
“Pasti akan ada mesyuarat antara semua pihak dan sebagaimana yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Melaka, beliau sangat terbuka.
“Kami kepimpinan BN di peringkat pusat akan dirundingi untuk menjadi kata pemutus kepada sebarang persepakatan atau persefahaman yang akan dicapai dalam musyawarah yang diadakan di antara mereka,” katanya.
















Tinggalkan Balasan