KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Maybank Singapore Ltd hari ini mengumumkan penyertaannya dalam inisiatif Borderless, Liquid, Open, Online, Multi-Currency (BLOOM) oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS), yang bertujuan memperkukuh infrastruktur pembayaran rentas sempadan dan perbankan transaksi generasi baharu bertaraf dunia.
BLOOM ialah inisiatif industri yang bertujuan mempertingkat penyelesaian pembayaran rentas sempadan menerusi liabiliti bank bertoken dan stablecoin yang dikawal selia, sekali gus mewujudkan ekosistem kewangan yang lebih saling beroperasi dan lancar.
Maybank Singapore dalam satu kenyataan memaklumkan penyertaan itu mengukuhkan lagi pencapaian tokenisasi kumpulan itu di ASEAN, termasuk peranannya sebagai peneraju dalam penerbitan sulung sukuk bertoken oleh dana kekayaan negara Malaysia, Khazanah Nasional Bhd.
Menurut kenyataan itu, bank berkenaan turut mencatat satu lagi pencapaian apabila berjaya melaksanakan penukaran mata wang asing ringgit Malaysia-dolar Singapura secara rantaian blok (on-chain) yang pertama, selain pembayaran rentas sempadan secara masa nyata untuk Yinson Holdings Bhd menerusi Hab Inovasi Aset Digital Bank Negara Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negara merangkap CEO Maybank Singapore Alvin Lee berkata menerusi BLOOM, bank itu berhasrat membantu membentuk piawaian bersama dan prinsip infrastruktur yang diperlukan bagi memacu masa depan kewangan digital di Singapura, dengan kerjasama MAS serta peserta industri, termasuk syarikat teknologi kewangan (fintech).
“Kerjasama ini selaras dengan ROAR30, pelan strategik lima tahun kami untuk menawarkan penyelesaian berteraskan nilai, sekali gus menjadikan perkhidmatan perbankan lebih cekap dan mudah diakses, khususnya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Beliau berkata pelaburan digital Maybank dalam teknologi tokenisasi merupakan sebahagian daripada komitmen ROAR30 untuk melabur RM10 bilion (SG$3.2 bilion) dalam tempoh lima tahun bagi memperkukuh keupayaan teknologi, data dan kecerdasan buatan (AI).

















Tinggalkan Balasan