Sun Phuquoc Airways Lancar Laluan KL-Phu Quoc Bermula 1 September

KUALA LUMPUR, 6 Ogos — Sun PhuQuoc Airways melancarkan laluan penerbangan terus harian baharu Kuala Lumpur dan Phu Quoc ayang dijadual bermula pada 1 Sept, 2026, sekali gus memperkukuh hubungan pelancongan serta perjalanan antara Malaysia dan Vietnam.

Dalam kenyataannya, syarikat penerbangan itu memaklumkan penerbangan pertama berkenaan akan beroperasi dengan satu penerbangan pergi balik setiap hari yang menjadikan Malaysia sebagai pasaran antarabangsa ketujuh menerima perkhidmatan terus Sun PhuQuoc Airways.

Tempoh penerbangan antara kedua-dua destinasi itu adalah kira-kira sejam 35 minit.

“Penerbangan pertama pada 1 September itu dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phu Quoc pada 1.45 petang dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.20 petang.

“Penerbangan pulang pula akan berlepas dari Kuala Lumpur pada 5.20 petang dan tiba di Phu Quoc at 5.55 petang. Kesemua waktu yang dinyatakan itu adalah mengikut waktu tempatan,” menurutnya.

Syarikat penerbangan itu menawarkan tambang sehala bermula daripada RM370 selain diskaun 20 peratus ke atas tambang asas bagi semua kelas penerbangan yang ditempah melalui laman sesawang rasmi atau aplikasi mudah alih syarikat, tidak termasuk tempoh perjalanan puncak.

Tambang itu termasuk hidangan percuma mengikut kelas tambang dipilih serta elaun bagasi daftar masuk seberat 23 kilogram manakala tambang kanak-kanak adalah 75 peratus daripada tambang dewasa.

“Malaysia merupakan antara pasaran sumber pelancong antarabangsa yang paling berpotensi bagi Phu Quoc manakala Kuala Lumpur berperanan sebagai salah satu hab penerbangan utama di Asia Tenggara dengan rangkaian penerbangan serantau dan jarak jauh yang luas,” menurut syarikat penerbangan itu.

Sun PhuQuoc Airways juga menjangkakan laluan baharu itu dapat meningkatkan aliran pelancongan antara kedua-dua negara, selain menarik kehadiran penumpang transit antarabangsa yang melalui Kuala Lumpur.

Bagi kemajuan masa depan, Sun PhuQuoc Airways menyasarkan untuk mengembangkan rangkaian penerbangan antarabangsa sepanjang 2026 dengan memperkenalkan perkhidmatan baharu ke Asia Timur Laut, India, Rusia dan Asia Tengah selain memperkukuh hubungan antara destinasi ekonomi serta pelancongan utama di Vietnam.

Syarikat penerbangan itu juga menjangkakan dapat meningkatkan kumpulan pesawatnya kepada 32 pesawat menjelang akhir 2026 bagi menyokong usaha memperluas rangkaian perkhidmatannya.