Rakyat Pahang Dipelawa Beri Pandangan Terhadap Draf Rancangan Struktur Negeri 2040

KUANTAN, 6 Ogos — Kerajaan Negeri Pahang membuka ruang kepada rakyat di negeri itu untuk mengemukakan pandangan dan cadangan berhubung hala tuju pembangunan menerusi Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040 (Kajian Semula).

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata orang ramai boleh menyalurkan maklum balas mereka kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Pahang atau pejabat daerah untuk dikaji dan dipertimbangkan dalam tempoh sebulan.

“Sekiranya mereka mempunyai pandangan atau cadangan, mereka boleh mengemukakannya dan kita akan meneliti setiap maklum balas yang diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Pahang 2040 (Kajian Semula) dan majlis penyerahan pelan indikatif kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Pahang di sini, hari ini.

Mengulas tentang pelan pembangunan itu, Wan Rosdy berkata sebanyak 51 projek dikenal pasti di seluruh negeri melibatkan pelbagai sektor termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan, Pelabuhan Kuantan dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Bagaimanapun, beliau berkata senarai projek berkenaan bukan bersifat statik dan boleh ditambah mengikut keperluan semasa.

“Ia bergantung pada keperluan semasa. Apabila timbul keperluan baharu, kita akan memohon kepada Kerajaan Persekutuan. Jadi, proses ini akan terus berjalan dan tidak terhad kepada 51 projek sahaja,” katanya.